Farah Ain mahu 'balas dendam' di Kejohanan Dunia

Farah Ain mahu ‘balas dendam’ di Kejohanan Dunia

Nor Farah Ain Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Nor Farah Ain Abdullah tekad bangkit di Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2025 November ini bagi menebus ketiadaannya pada Kejohanan Terbuka Australia akibat kecederaan otot (muscle tear) bahu kanan.

Olahragawati Kebangsaan 2024 itu, dinasihatkan untuk berehat sepenuhnya selama enam minggu tanpa latihan berat bagi memberi ruang pemulihan secara intensif, termasuk menjalani rawatan fisioterapi dan suntikan PRP (Platelet-Rich Plasma).

“Kejohanan seterusnya ialah Terbuka Australia tetapi saya tak dapat sertai disebabkan kecederaan bahu dan saya terpaksa direhatkan selama enam minggu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Video Kesedaran Kempen Belia Bebas Dadah di Sunway Putra Mall, di sini, semalam.

Pemain berusia 24 tahun itu, mengakui kecederaan tersebut sudah lama, namun tidak dirawat secara menyeluruh dan ia kembali serius sehingga memaksa dia untuk mendapatkan rawatan khusus bagi mengelakkan komplikasi lebih lanjut.

“Saya baru lepas buat suntikan PRP dan sekarang buat susulan dengan pakar fisioterapi. Saya mahu pastikan pulih sebelum kembali ke gelanggang,” tambahnya.

Dengan penarikan dirinya daripada Terbuka Australia yang juga merupakan salah satu kejohanan yang diiktiraf badan dunia boling padang turut menjejaskan kedudukan ranking dunia Farah, namun dia kekal positif dan percaya masih berpeluang untuk mengekalkan kedudukan dalam kelompok lima terbaik dunia.

“Ranking memang akan turun naik bila kita tak sertai kejohanan yang diiktiraf oleh World Bowls, tapi saya masih dalam lima teratas dan saya rasa itu masih dalam kedudukan yang baik.

“Bagi saya, kecederaan ni memang beri kesan kepada persiapan, tapi sebagai atlet, kita dah biasa hadap benda macam ni. Saya tak ada masalah untuk bangkit semula dan cari momentum balik dalam World Cup di Malaysia nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN