Beri peluang kalau Tengku Zafrul dipilih Presiden BAM  

Beri peluang kalau Tengku Zafrul dipilih Presiden BAM  

ADAM ADLI ABDUL HALIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim menyerahkan sepenuhnya proses pemilihan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berjalan seperti yang sepatutnya selepas badan induk itu masih belum menetapkan tarikh tutup pencalonan.

Itu bermakna kedudukan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang sebelum ini menjadi tumpuan utama, selepas dicalonkan sebulat suara oleh Ahli Majlis badan induk itu, masih belum selamat.

“Tidak mengapa biar proses itu berjalan (dengan lancar) dan kita harap yang terbaik. Sekiranya menang sudah semestinya beliau mempunyai tempoh tertentu untuk membawa sesuatu (meningkatkan tahap) kepada sukan tersebut,” katanya ditemui di sini semalam.

Setakat ini perlembagaan BAM  tidak menetapkan tarikh tutup pencalonan, membolehkan sesiapa sahaja tampil mencabar kedudukan Tengku Zafrul walaupun pada saat akhir menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh memaklumkan bahawa semua persiapan menjelang AGM berjalan lancar dengan mesyuarat penuh Ahli Majlis akan diadakan seawal pukul 9.30 pagi, sebelum sesi pemilihan bermula pada tengah hari.

Nama Tengku Zafrul sudah lama dikaitkan dengan kerusi No.1 BAM, bahkan hampir diangkat sebagai presiden tahun lalu, namun diminta menangguhkan pengambilalihan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sehingga tamat temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Kini, laluan dilihat terbuka luas buat beliau, namun tidak mustahil ‘penyertaan mengejut’ boleh berlaku, lebih-lebih lagi selepas Presiden Persatuan Badminton Putrajaya (PjBA), Datuk Seri Khairuddin Abd. Samad pernah menyuarakan hasrat untuk bertanding.

Pada 25 Mac lalu, Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam mengesahkan majoriti Ahli Majlis telah mencapai kata sepakat mencalonkan Tengku Zafrul bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang akan mengundurkan diri selepas hampir sedekad memimpin.

Dalam pada itu, Adam turut menyeru atlet yang menyertai Program Road To Gold (RTG) agar memanfaatkan peluang tersebut demi meningkatkan kemampuan dalam sukan masing-masing.

“RTG ini ibarat cek kosong dan mereka boleh menikmati kemudahan yang ada. Saya masih teringat ada atlet yang minta kasut dan stokin. Itupun kita bagi. Program ini sebenarnya menguntungkan mereka kerana dapat menikmati pelbagai kemudahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN