KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menyifatkan tiga gandingan negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun, sebagai kombinasi terbaik yang dimiliki Malaysia bagi menghadapi Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China.
Menariknya, gandingan profesional, Sze Fei-Izzuddin kini kembali bernaung di bawah satu kem dan memulakan latihan pusat bersama skuad negara bermula semalam menjelang kejohanan berprestij itu yang bakal berlangsung kurang dari dua minggu lagi.
“Ya, yang pasti kita berlatih ini baru hari pertama. Jadi nanti masih ada baki lebih kurang dua minggu. Pandangan saya (kombinasi), ini yang terbaik di Malaysia.
“Barisan beregu lelaki kita ini memang pada tahap yang sangat maksimum menurut saya,” kata Herry ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.
Mengulas mengenai undian kumpulan yang menyaksikan Malaysia bakal berdepan cabaran daripada Jepun, Perancis dan Australia, Herry mengakui negara matahari terbit itu kekal sebagai pencabar utama sambil melihat peluang baik ke atas dua lagi lawan.
“Yang pasti di antara kumpulan itu, beregu yang harus diperhatikan itu ketika lawan Jepun. Perancis itu saya lihat pemainnya itu bukan yang terbaik sebaliknya mereka menurunkan pemain pelapis,” katanya.
Sementara itu, Herry turut mengakui mengakui kelebihan utama Malaysia dalam kempen Piala Sudirman kali ini terletak pada kepelbagaian gaya permainan tiga beregu lelaki terbabit.
“Setiap pasangan ada gaya permainan yang berbeza, jadi saya ada banyak pilihan untuk diturunkan bergantung kepada siapa lawan kita nanti.
“Daripada sudut teknikal, kita akan tengok juga kesesuaian lawan, tetapi kelebihan kita sekarang ialah ada pelbagai jenis permainan yang boleh disesuaikan dengan situasi,” katanya. – UTUSAN










