PETALING JAYA: Beregu lelaki No.1 negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, bersedia untuk memberi tentangan hebat dalam Piala Sudirman di Xiamen, China pada 27 April hingga 4 Mei, setelah tewas dalam perjuangan sengit di Kejohanan Badminton Asia (BAC) baru-baru ini.
Selepas kekalahan mengecewakan 21-16, 18-21, 22-20 kepada pasangan China, Chen Bo Yang-Liu Yi pada suku akhir di Ningbo Jumaat lalu, Sze Fei-Izzuddin kini berazam untuk bangkit dan membuktikan kemampuan mereka dalam kejohanan itu
Sze Fei berkata, penampilan sulung mereka dalam kejohanan berpasukan campuran dunia itu memberi satu motivasi dan semangat yang segar bagi membidik gelaran pertama Malaysia dalam piala berkenaan.
“Ini adalah kali pertama kami menyertai Piala Sudirman. Sekiranya diberi peluang untuk turun beraksi, kami harap dapat menunjukkan prestasi terbaik kami,” kata Sze Fei.
Kekalahan di BAC jelas memukul mereka, tetapi semangat mereka tetap tidak pudar, dan menganggap sebagai satu kelemahan yang mereka harus diperbaiki menjelang Piala Sudirman.
“Perlawanan ini (BAC 2025) sangat sengit. Saya rasa mereka (pasangan China) lebih berani untuk melakukan pukulan dalam mata-mata penting. Itu kunci kemenangan mereka.
“Saya rasa kami boleh beraksi dengan lebih baik, jadi kami perlu penambahbaikan,” katanya.
Malaysia diundi dalam kumpulan C dan akan turun menentang pasukan Jepun, Australia dan Perancis pada hujung bulan ini.
Untuk rekod, pencapaian tertinggi Malaysia dalam kejohanan dwitahunan itu mara ke separuh akhir pada 2021 selepas tewas kepada Jepun 3-1 manakala pada edisi dua tahun lalu turut akur kepada Korea Selatan 3-1 pada peringkat yang sama. – UTUSAN










