Soon Huat-Shevon jadi 'penyelamat' campuran negara 

Soon Huat-Shevon jadi ‘penyelamat’ campuran negara 

Goh Soon Huat-Shevon Lai dianggap pasangan beregu campuran paling konsisten berbanding yang lain. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Di saat beregu campuran negara lain masih bergelut mencari rentak, Nova Widianto memilih untuk terus bergantung harap kepada pasangan profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Ketua jurulatih beregu campuran negara itu menyifatkan mereka sebagai ‘penyelamat terakhir’ negara di pentas antarabangsa menjelang Piala Sudirman di Xiamen, China hujung bulan ini.

Biarpun tewas pada aksi suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025, kelmarin, Nova menganggap pasangan No. 3 dunia itu menjadi beregu paling konsisten untuk acara campuran negara.

“Memang diakui buat masa ini kita tidak memiliki beregu campuran yang konsisten, jadi ini adalah tugas saya untuk siapkan pemain-pemain. Sekarang hanya Soon Huat-Shevon yang paling konsisten tetapi saya juga perlu ada alternatif lain.

“Walaupun tidak menjadi di sini (BAC), saya tetap yakin mereka adalah pertaruhan terbaik kita di Xiamen,” kata Nova.

Soon Huat-Shevon kalah 15-21, 11-21 kepada gandingan muda Indonesia Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu, tetapi prestasi stabil mereka sepanjang Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) terus jadi sandaran utama.

Nova juga tidak menolak kemungkinan untuk menggabungkan semula beregu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang baharu dipisahkan bulan lalu selepas tidak memiliki persefahaman.

“Mereka (Tang Jie-Ee Wei) perlu bersedia (Piala Sudirman) kerana tidak boleh harapkan Soon Huat-Shevon sahaja. Mereka harus mengetepikan ego dan bersedia kerana ini untuk pasukan Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, sejak Ogos lalu Soon Huat-Shevon mencipta rekod 12 suku akhir daripada 15 kejohanan termasuk layak ke separuh akhir Terbuka Malaysia 2025 dan Jelajah Dunia Akhir BWF pada Disember.

Malaysia bakal menentang Perancis, Australia dan Jepun dalam Kumpulan C Piala Sudirman dan dijangka tiada masalah layak ke suku akhir dengan Soon Huat-Shevon sebagai kunci utama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN