Shevon terbuka tukar ‘pasangan lain’  

Shevon terbuka tukar ‘pasangan lain’  

Shevo Lai (kanan) sedia 'berpisah' dengan Goh Soon Huat jika ia boleh meningkatkan prestasi skuad beregu campuran negara. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran profesional, Shevon Lai terbuka untuk bergandingan dengan pasangan lain sekiranya diperlukan menjelang Kejohanan Piala Sudirman 2025 yang bakal berlangsung di Xiamen, China Ahad ini.

Shevon mengakui dia dan pasangannya, Goh Soon Huat sentiasa menerima apa jua strategi baharu demi kepentingan skuad negara pada kejohanan berpasukan campuran dunia itu.

“Sudah tentu dalam apa jua situasi, apabila pasukan memerlukan kami untuk berpecah, kami bersedia untuk memberi yang terbaik. 

“Malah, ia satu pengalaman yang baik dan kami juga dapat belajar sesuatu baharu,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam. 

Dalam masa yang sama pemain berusia 31 tahun itu mengakui, meskipun format beregu campuran lazimnya memposisikan lelaki di bahagian belakang dan wanita di hadapan, beliau dan Soon Huat kini sedang menyesuaikan diri dengan gaya permainan yang lebih fleksibel.

“Sekarang kami sedang mencuba beberapa gaya permainan baharu yang berbeza dan menyesuaikan diri mengikut peralihan semasa untuk menjadi serba boleh,” katanya.

Sementara itu, Shevon selaku pemain berpengalaman tidak menolak untuk membantu pemain muda sekiranya diperlukan, namun dalam masa yang sama mahu membina hubungan yang rapat dengan rakan sepasukan yang lebih muda.

“Saya tidak mahu dilihat sebagai senior yang sentiasa betul, ada beberapa perkara pun kita boleh belajar daripada junior. Jika mereka memerlukan sebarang bantuan daripada kita, saya juga pasti akan membantu,” ujarnya.

Piala Sudirman menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Jepun, Perancis dan Australia, dan kem negara dibarisi beberapa pemain mantap seperti Juara Asia 2025 Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Pearly Tan-M Thinaah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×