KUALA LUMPUR: Bintang 400 meter (m) olahraga wanita negara, Shereen Samson Vallabouy diberi peluang mengisi satu-satunya slot wildcard ke Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun pada September ini sekiranya tiada mana-mana atlet yang layak secara merit.
Senario ini sama seperti pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi yang mengisi slot wildcard yang diberikan oleh Olahraga Dunia (WA) ketika Sukan Olimpik Paris 2024 berdasarkan prestasi semasa beliau.
Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pemilihan Shereen dibuat bukan hanya berdasarkan prestasi semasa, tetapi juga demi membina kesinambungan antara bintang muda dalam misi mengangkat kembali nama Malaysia di pentas dunia.
“Dulu kita pilih Azeem berdasarkan prestasi dan dia lari untuk 100m. Sekarang ini Shereen pula dipilih berdasarkan prestasi dan sebagainya, dan tumpuan beliau adalah acara 400m.
“Kita nak letakkan satu persediaan yang membolehkan atlet kita muncul (bersedia) dan wildcard ini kita putuskan untuk diberikan kepada Shereen selepas perbincangan panjang lebar dengan semua pihak,” kata Shahidan kepada pemberita selepas mesyuarat ahli majlis MA di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, kelmarin.
Pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023 itu kini berlatih di Winona State University, Amerika Syarikat (AS) dan dilihat sebagai antara sandaran utama olahraga bagi acara larian wanita Malaysia ke Olimpik Los Angeles (LA) 2028.
Dalam pada itu, Shahidan turut memaklumkan MA telah menghantar senarai 104 atlet kepada MSN untuk kelulusan sebagai calon kontinjen ke kejohanan utama seperti Kejohanan Dunia, Sukan SEA, Sukan Asia dan Komanwel
“Kita hantar senarai 104 orang tapi hanya 85 yang diluluskan. Kita akan merayu untuk membolehkan 104 orang atlet yang kita telah ‘hold’ itu dipertimbangkan,” katanya.
Untuk rekod, Shereen membuktikan beliau dalam kelas tersendiri apabila meraih kejuaraan pertama dalam 400m dengan catatan 53.72 saat (s) pada Kejohanan Embry-Riddle Running Elements Classic 2025 di Florida, Amerika Syarikat (AS), 6 April lalu. – UTUSAN










