KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky memilih untuk melancarkan ‘perang senyap’ menjelang pertembungan getir Pearly Tan-M. Thinaah dengan kuasa besar Asia dalam kejohanan antarabangsa yang akan datang.
Kekalahan seawal pusingan pertama kepada gandingan pecah ganding Korea Selatan, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 pada Rabu memperlihatkan kelemahan yang masih ketara dalam permainan Pearly-Thinaah.
Rexy mendedahkan pelan taktikal khusus sudah dirangka bersama ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak, namun ianya akan disimpan rapi daripada pengetahuan umum dan musuh.
“Kita ada perancangan, tapi bukan semuanya boleh dikongsi kepada dunia. Kita tidak boleh dedahkan semua kepada media.
“Saya dan jurulatih Rosman sudah berbincang, kami tahu apa yang perlu ditambah untuk beri cabaran,” kata Rexy kepada Utusan Malaysia.
Lebih membimbangkan, rekod pertemuan pasangan No. 5 dunia itu dengan lawan jaguh beregu wanita seperti Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China (7-3) dan wakil Jepun Nami Matsuyama-Chiharu Shida (12-1) jelas melihatkan kelemahan mereka.
Bagaimanapun, Rexy percaya kelebihan taktikal rahsia mampu mengubah nasib gandingan negara, yang sebelum ini pernah mencipta kejutan ke atas pasangan No. 2 dunia dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee.
Terdahulu, Pearly-Thinaah sebelum ini mendedahkan strategi mereka kepada media dengan mengatakan mereka mahu meningkatkan kekuatan dan juga ketahanan bagi mencabar gelaran di pentas antarabangsa. – UTUSAN











