KOTA BHARU: Barisan pemain Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dituntut memperagakan aksi terbaik dalam aksi terakhir Liga Super sekali gus memikat hati pasukan lain untuk mendapatkan khidmat mereka musim hadapan.
Pesanan itu dititipkan oleh penolong ketua jurulatih KDN FC Rezal Zambery Yahya selepas melihat keadaan pasukan yang semakin ‘tenat’ dalam mengharungi saingan liga.
“Tiada siapa dalam meramalkan perkara itu kerana masing-masing belum mengetahui perancangan selanjutnya daripada pihak pengurusan kelab. Jadi, motivasi terbaik yang boleh diberikan kepada mereka setakat ini ialah datang dan bermain bersungguh-sungguh demi memasarkan diri mereka untuk musim hadapan.
“Paling utama kena habiskan musim ini dengan persembahan terbaik kerana kebanyakan pemain dalam industri bola sepak ini perlu meneruskan perjuangan. Kena pamer kebolehan agar dapat menarik perhatian mana-mana pasukan berminat,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan KDN FC menentang Negeri Sembilan di Stadium Sultan Muhammad IV.
Katanya, semangat bersungguh-sungguh itu perlu diteruskan supaya karier mereka dalam bola sepak terus berpanjang.
Pada perlawanan itu, KDN FC terus dirundung malam apabila tumbang 1-2 di tangan Negeri Sembilan FC gus merekodkan kekalahan ke-20 dalam saingan Liga Super musim ini untuk kekal di tangga tercorot. – UTUSAN









