PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim(JDT) tidak akan memandang ringan cabaran Sri Pahang menjelang aksi final Piala Malaysia 2024/ 2025 yang dianggap antara perlawanan paling penting dalam musim ini.
Ketua jurulatihnya, Hector Bidoglio berkata, walaupun JDT telah mencipta dominasi dalam beberapa musim terdahulu, final tetap merupakan pentas yang berbeza dan memerlukan fokus maksimum daripada semua pemain.
“Setiap final adalah permainan berbeza. Ia sukar dan kami perlu fokus kepada diri sendiri, bukan terlalu melihat kepada lawan,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan, semalam.
Beliau berkata, Sri Pahang bukan calang-calang pasukan kerana telah membuktikan keupayaan sepanjang musim ini dan layak berada di pentas final.
“Mereka telah bermain dengan sangat baik. Ini adalah permainan yang sangat penting buat kami. Pemain saya juga telah bekerja keras sepanjang musim yang panjang ini,” katanya.
Ketika ditanya mengenai tekanan dan harapan tinggi ke atas JDT, jurulatih kelahiran Argentina itu berkata, beliau sentiasa menekankan kepada pemain tentang kepentingan kerja harian dan peningkatan berterusan.
“Setiap hari kami bercakap dengan pemain, memperbaiki kemahiran individu dan sistem taktikal pasukan. Saya gembira mengikuti idea serta falsafah kelab ini. Saya yakin kita berada pada masa yang sesuai untuk melakar kejayaan,” katanya.
Menyentuh mengenai peluang JDT untuk menjulang satu lagi trofi, Bidoglio berkata, motivasi utama pasukannya adalah untuk terus mengangkat martabat jersi Harimau Selatan.
“Motivasi kami adalah memakai baju ini. Kita perlu tunjukkan momen dan potensi sebenar kami. Dalam bola sepak, dalam satu minit kita boleh kehilangan segalanya. Jadi kami akan berusaha sepenuhnya,” katanya.
Katanya, perlawanan ini adalah penutup musim yang panjang dan tiada ruang untuk kesilapan.
“Ia adalah 90 minit terakhir dan mungkin masa tambahan. Kami perlu bermain dengan dinamik, kompak, serius dan mudah. Saya percaya dengan pemain saya kerana saya lihat sendiri bagaimana mereka bekerja setiap hari,” katanya. – UTUSAN










