PETALING JAYA: Malaysia bukan sekadar bersedia, malah berada dalam mod tempur sepenuhnya menjelang kempen Piala Sudirman 2025, demikian keyakinan tinggi disuarakan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen.
Jurulatih berpengalaman dari Denmark itu yang pernah membentuk juara dunia Viktor Axelsen, mengakui beliau gembira melihat peningkatan drastik dalam intensiti latihan skuad negara sejak beberapa minggu lalu.
“Saya rasa setakat ini semuanya berjalan baik dan saya tidak sabar ke Xiamen, China serta melihat sendiri suasana gelanggang utama di sana.
“Ini adalah langkah penting kerana kita mahu tahu bagaimana keadaan sebenar arena pertandingan dan cara gelanggang di China memberi kesan kepada pemain,” kata Jonassen.
Menurutnya, kejohanan berpasukan seperti Piala Sudirman memerlukan kekuatan mental dan fizikal luar biasa, serta kesepaduan taktikal yang hanya boleh dibentuk melalui latihan berkualiti tinggi.
Menariknya, latihan kali ini disifatkan paling tersusun, dengan setiap pemain menerima pelan latihan khas yang direka mengikut kekuatan dan keperluan individu.
“Bermain dalam acara berpasukan memang berbeza. Momentum amat penting dan setiap mata perlu dipertahankan dengan sebaik mungkin.
“Fokus kami ialah mewujudkan intensiti latihan yang sesuai dan setiap sesi disusun mengikut keperluan individu, supaya mereka benar-benar bersedia,” katanya.
Dalam pada itu, pemilihan pemain perseorangan negara, Leong Jun Hao sebagai kapten pasukan turut dipuji Jonassen yang menyifatkan anak jati Kuala Lumpur itu sebagai pemimpin semula jadi dalam kalangan pemain muda.
“Saya rasa dia (Jun Hao) sesuai dengan peranan tersebut. Dia seorang yang tenang dan dapat memikul tanggungjawab ini dengan baik,” katanya.
Malaysia bakal menentang Perancis dalam aksi pembuka tirai di Gimnasium Fenghuang, Xiamen pada pukul 9.30 pagi Isnin ini, dan semua mata kini tertumpu kepada skuad kebangsaan untuk mencipta impak awal di pentas dunia. – UTUSAN











