PETALING JAYA: Percaturan pengendali Sabah FC, Martin Stano menggunakan pemain muda dalam aksi terakhir Liga Super memakan diri apabila tumpas 0-1 kepada Perak FC.
Lebih memeritkan jaringan kemenangan skuad kendalian Yusri Che Lah terhasil menerusi jaringan sendiri kapten Sabah FC, Rawilson Batuil pada minit ke-27.
Menurut Stano, keputusan yang memihak kepada Perak FC pada perlawanan di Stadium Likas itu meranapkan sasarannya untuk menamatkan musim ini dengan kemenangan selepas berjaya mengembalikan kedudukan di tangga ketiga liga.
“Ini perlawanan akhir kita selepas menempuh musim yang panjang, bermula pada Januari tahun lalu dan baru tamat tadi (kelmarin). Sudah tentu kita mahu menamatkannya dengan kemenangan tetapi kita tidak bernasib baik hari ini.
“Selepas mendapat tangga ketiga pada perlawanan lalu, kita mahu memberi peluang kepada beberapa pemain tempatan, tapi dari mula lagi persembahan pasukan kita agak lemah, kurang kualiti dan agak berhati-hati,” katanya pada sidang media, kelmarin.
Dalam masa yang sama, Stano mengakui aksi pemain Sabah dalam perlawanan terakhir itu tidak selincah yang diharapkan, menyebabkan Sang Badak gagal mencipta peluang sepanjang 20 minit pertama perlawanan.
“Kita dibolosi satu gol, dilayangkan kad merah dan sudah tentu ia menjadikan permainan kita bertambah sukar apabila mahu melawan balik selepas itu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tetap menghargai jasa anak buahnya yang berusaha mengubah kedudukan pada separuh masa kedua walaupun hanya dapat mempertahankan gawang daripada dibolosi sekali lagi.
“Pada separuh masa kedua, kita membuat beberapa perubahan dan ia nampaknya membuahkan hasil. Kita bertarung hingga ke akhir, kita mencipta peluang yang besar pada awal babak kedua, kita hampir menyamakan kedudukan tetapi malangnya kita gagal.
“Namun, saya tabik semua pemain yang berjuang hingga akhir dan saya berharap dapat bertemu mereka semula pada musim akan datang,” katanya. – UTUSAN










