PETALING JAYA: Penemuan spesimen kedua ikan Red-bellied Piranha (Pygocentrus nattereri) di Sungai Klau, Raub berhampiran jambatan RTP, menimbulkan kemungkinan lebih daripada seekor ikan spesies berkenaan terdapat di kawasan itu.
Spesimen berkenaan ditemukan oleh seorang pemancing baru-baru ini, sekali gus menjadi penemuan kedua selepas spesimen pertama dikesan di kawasan sama pada bulan lalu.
Menurut akaun Facebook Jejak Air Tawar, pihaknya telah meneliti gambar dan rakaman video spesimen dengan mendapati ia merupakan spesies sama seperti spesimen yang ditemukan sebelum ini.
Katanya, berdasarkan pengalaman dalam menangani isu ikan pendatang, penemuan dua spesimen daripada spesies sama di lokasi berdekatan berkemungkinan menunjukkan ikan berkenaan dilepaskan dalam satu kumpulan, namun jumlah sebenar masih belum dapat dikenal pasti.
“Ini bermakna bukan seekor sahaja Red-bellied Piranha yang dilepaskan di Klau. Bagaimanapun, kita tidak tahu berapa jumlah sebenar yang dilepaskan.
“Lokasi penemuan ini berada sebelum memasuki kawasan tadahan air Empangan Klau. Jadi, masih belum dapat dipastikan sama ada ikan ini dilepaskan terus ke sungai atau dilepaskan di kawasan empangan sebelum bergerak mudik ke arah hulu sungai,” katanya.
Katanya, sekiranya ikan berkenaan dilepaskan ke sungai, kawasan yang perlu diberi perhatian termasuk sekitar Felda Klau, RTP dan Kampung Sungai Klau.
Dalam pada itu, katanya, belum ada bukti kukuh untuk mengesahkan sama ada spesimen yang ditemui itu merupakan populasi yang sudah berjaya membiak di Sungai Klau.
Katanya, ikan Red-bellied Piranha daripada keluarga Serrasalmidae diketahui lebih sensitif terhadap keadaan persekitaran berbanding Red-bellied Pacu, sekali gus memerlukan parameter air dan habitat yang benar-benar sesuai untuk terus hidup serta membiak.
“Sebagai contoh, bagi Red-bellied Pacu, setakat ini belum ada yang dikesan berjaya membiak walaupun spesies itu bersifat invasif.
“Red-bellied Piranha pula berada dalam keluarga sama, tetapi daripada genus berbeza iaitu Pygocentrus berbanding Piaractus bagi Red-bellied Pacu dan kedua-duanya berevolusi dengan mekanisme yang sedikit berbeza.
“Jadi saya tidak menolak kemungkinan Red-bellied Piranha mampu membiak di Sungai Klau kerana daripada segi iklim di negara asalnya tidak banyak berbeza dengan Malaysia, walaupun ekosistem sungainya berbeza,” katanya.
Bagaimanapun katanya lagi, saiz kedua-dua spesimen yang ditemui setakat ini kelihatan hampir sekata, memberi gambaran ia mungkin berasal daripada kumpulan yang sama dan baru dilepaskan.
Menurutnya, penemuan spesimen dengan saiz yang berbeza-beza pada masa akan datang perlu diberi perhatian lebih serius kerana keadaan itu boleh menjadi petunjuk yang memerlukan penelitian lanjut terhadap kemungkinan pembiakan.
Sementara itu, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) akan menjalankan siasatan dan pemantauan susulan penemuan kedua ikan yang didakwa daripada kumpulan ikan pirana Pygocentrus di kawasan Empangan Klau itu.
Tindakan itu akan dilaksanakan Jabatan Perikanan Negeri Pahang bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung penemuan berkenaan termasuk keadaan perairan serta kemungkinan kewujudan spesies tersebut di kawasan berkenaan.
Menurut DOF, spesimen yang diperoleh akan menjalani pemeriksaan dan pengesahan identiti spesies oleh pihak berkaitan, termasuk Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi, Jelebu, Negeri Sembilan.
“Penemuan kedua ini adalah susulan penemuan terdahulu di kawasan perairan yang sama dan Jabatan akan mempergiat pemantauan bagi mendapatkan gambaran lebih menyeluruh mengenai keadaan sumber perikanan di kawasan tersebut,” menurut kenyataan, hari ini.
DOF berkata, setakat ini pihaknya belum membuat sebarang kesimpulan mengenai kewujudan populasi ikan pirana di Empangan Klau sehingga proses pengesahan spesies dan siasatan lapangan selesai.
Menurutnya, kehadiran spesies ikan asing yang berpotensi invasif di perairan awam boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem akuatik sekiranya berjaya membiak dan membentuk populasi.
“Spesies daripada kumpulan pirana mempunyai ciri pemakanan yang berpotensi memberi tekanan kepada spesies akuatik tempatan.
“Justeru, sebarang penemuan ikan asing perlu dilaporkan kepada abatan bagi membolehkan tindakan pengesanan, pengesahan dan pemantauan dilaksanakan,” katanya.-UTUSAN.










