Pearly-Thinaah perlu buktikan hebat di BAC 2025

Pearly-Thinaah perlu buktikan hebat di BAC 2025

Pearly Tan dan M. Thinaah perlu membuktikan mereka mampu pergi lebih jauh dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 yang membuka tirai hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah yang berdepan kontroversi mengenai masa depan mereka bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), akan menghadapi cabaran besar di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025, di Ningbo, China, yang membuka tirainya hari ini. 

BAC 2025 ini dijangka memberi ujian besar buat Pearly-Thinaah, terutama dengan kehadiran pasangan-pasangan pecah ganding dari China dan Korea Selatan. 

Turun selaku pilihan keenam dunia ini akan bertemu pasangan pecah ganding dari Korea Selatan, Kong Hee-Yong-Kim Hye-Jeong yang menewaskan mereka pada perlawanan akhir Indonesia Masters serta separuh akhir Terbuka India, Januari lalu pada aksi pusingan pertama.

Walaupun berdepan cabaran berat, ketua jurulatih beregu wanita negara Rosman Razak optimis bahawa anak didiknya mampu mengatasi halangan tersebut dan bersaing di peringkat tertinggi.

“Keadaan semakin baik dan mereka sudah pun memulakan latihan penuh. Mereka tahu cabaran yang bakal dihadapi dan bersedia menghadapinya.

“Seperti yang kami lihat ketika latihan, mereka teruja untuk bertanding, walaupun berdepan kecederaan dan tekanan,” kata Rosman.

Sekiranya mereka melepas halangan pertama, Pearly-Thinaah dijangka akan berdepan pasangan pecah ganding dari China, Zheng Yu-Zhang Shuxian yang mana kedua-duanya mempunyai reputasi tinggi dan pernah menduduki ranking No. 2 dunia.

“Apabila undian diketahui pada minggu lalu, saya fikir mereka juga mengetahui cabaran yang mereka akan hadapi. Tetapi seperti yang kamu lihat (ketika latihan), sekali pun dengan keadaan mereka, termasuk kecederaan, kedua-dua mereka amat teruja untuk bersaing dengan mereka.

“Ia adalah perkara yang biasa dan kami perlu menerimanya, bersaing dan cuba apa saja yang perlu dilakukan,” katanya.

Dengan persiapan yang semakin matang, Pearly-Thinaah dijangka memberikan saingan sengit di BAC, namun cabaran terbesar mereka adalah untuk terus konsisten dan menunjukkan prestasi terbaik tanpa mempedulikan kontroversi yang melanda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN