Li Jane bawa momentum juara ke Singapura

Li Jane bawa momentum juara ke Singapura

Sin Li Jane bertekad mengekalkan momentum juara apabila beraksi dalam Kejohanan Antarabangsa Sonic Klasik 2025 di Singapura. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ratu boling negara, Sin Li Jane bertekad mengekalkan momentum kejuaraan apabila turun beraksi dalam Kejohanan Antarabangsa Sonic Klasik 2025 yang membuka tirai di Singapura semalam.

Li Jane, 32, sebelum ini muncul juara kategori Terbuka Wanita dalam Kejohanan Antarabangsa Terbuka Malaysia ke-43 yang melabuhkan tirai di Sunway Mega Lanes, Ahad lalu.

Berbekalkan semangat kemenangan itu, dia mahu memastikan rentak cemerlang dapat diteruskan dalam kejohanan itu.

“Setiap pertandingan saya akan cuba lakukan yang terbaik, tidak kira sama ada kejohanan tempatan mahupun antarabangsa.

“Paling penting saya perlu nikmati permainan dan elakkan tekanan terhadap diri sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Li Jane mengakui Kejohanan Sonic bukan asing buat dirinya kerana pernah menyertainya sebelum ini, malah pernah menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik.

“Kalau tak silap, kedudukan terbaik saya sebelum ini ialah tempat kelapan atau kesembilan. Dalam sukan boling, saya percaya setiap pemain ada peluang untuk menang,” katanya.

Katanya, fokus utama ketika ini adalah untuk melepasi pusingan kelayakan sebagai langkah awal memburu slot ke peringkat akhir.

“Ada tiga hari pusingan kelayakan. Mungkin saya akan fokus untuk kelayakan terlebih dahulu, kemudian barulah fikir untuk mara lebih jauh.

“Apa juga keputusannya nanti, saya akan beri yang terbaik dalam setiap kejohanan yang saya sertai. Harap segala usaha akan membuahkan hasil positif,” ujarnya.

Sebelum ini, atlet kelahiran Ipoh itu berjaya menjuarai kategori Terbuka Wanita selepas menewaskan atlet dari Singapura, New Hui Fen pada perlawanan akhir Kejohanan Terbuka Malaysia, Ahad lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×