IPOH: Kerajaan negeri tidak mampu membantu masalah dalaman Perak FC yang mengalami masalah kewangan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau memahami masalah itu kerana kos menanggung sebuah pasukan bola sepak profesional di Malaysia terlampau mahal yang tidak mampu ditanggung oleh kerajaan negeri.
“Malaysia bukan macam England. Harga tiket rendah (di Malaysia), orang yang datang ke stadium pun kurang.
“Tetapi bayaran kepada pemain-pemain profesional itu mahal. Tidak tertanggung oleh kelab, negeri pun tidak mampu menanggung. Sebab itu saya sangat faham apabila Perak FC buat keputusan sedemikian,” katanya pada majlis sambutan Hari Raya anjuran syarikat milik kerajaan (GLC) Perak di sini, semalam.
Kata Saarani, permainan bola sepak profesional di Malaysia terlampu mahal yang bukan sahaja menjejaskan Perak FC, malah turut dirasai oleh beberapa pasukan lain seperti Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman FC dan Perlis.
Ditanya mengenai sama ada kerajaan negeri akan membantu tunggakan gaji pemain Perak FC, Saarani berkata, beliau tidak dapat berbuat demikian.
Tentang pembangunan bola sepak di Perak, beliau berkata, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) akan memainkan peranan untuk mencungkil bakat-bakat baharu di sekolah serta pasukan komuniti.
Jelasnya, kerajaan negeri ada membantu PAFA untuk menganjurkan pertandingan bola sepak, dan kata beliau kos tersebut jauh lebih murah berbanding mengendalikan sebuah pasukan profesional yang beraksi dalam Liga Super Malaysia.
“Untuk setakat menjadikan permainan bola sepak ini satu sukan dan harganya berpatutan, maka kerajaan negeri bantu melalui PAFA,” katanya. – UTUSAN










