KUALA LUMPUR: Ketiadaan pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia dalam skuad Piala Sudirman di Xiamen, China bukan satu beban buat kem negara, sebaliknya menjadi dorongan buat pemain lain tampil lebih bertanggungjawab dalam memburu mata.
Pemain beregu campuran profesional. Goh Soon Huat berkata, meskipun kehilangan Zii Jia yang tidak disenaraikan akibat kecederaan, beliau percaya skuad Malaysia masih mampu memberi saingan dalam kejohanan berpasukan campuran dunia itu.
“Disebabkan kita tiada Zii Jia (tidak disenaraikan sebab kecederaan), jadi, dari situ kita akan cuba buat yang terbaik untuk dapatkan satu mata untuk pasukan kita.
“Bagi kita sebagai pemain dan atlet Malaysia, kita akan usaha untuk dapatkan satu mata penting untuk pasukan negara. Menang atau kalah, kita sebagai satu pasukan akan lalui bersama,” kata Soon Huat selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.
Sementara itu, Soon Huat yang bergandingan bersama Shevon Lai turut menegaskan mereka bersedia menyahut cabaran sekiranya diturunkan sebagai pasangan utama dalam kempen kali ini pada 27 April hingga 4 Mei ini.
“Kita perlu sentiasa bersedia sebab masa pertama kali BAM (Persatuan Badminton Malaysia) telefon (beri tawaran wakil negara), kita sudah beri jawapan bahawa kita bersedia untuk beraksi.
“Jadi, di sana (China), kita lihat bertemu siapa serta pasangan mana yang mempunyai kelebihan, dan selebihnya terpulang kepada strategi jurulatih.
Pasangan No. 3 dunia itu yakin pengalaman mereka akan menjadi kelebihan terutama apabila menentang lawan sukar seperti Jepun dalam Kumpulan C yang turut disertai Australia dan Perancis. – UTUSAN










