SEPANG: Qabil Irfan Azlan diramal akan menjulang lebih banyak kejuaraan berdasarkan analisis perbandingan prestasi dibuat pasukannya dengan pelumba-pelumba lain.
Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, penilaian yang dibuat oleh pasukannya, Frando Racing VHC Team Liqui Moly dan kelajuan yang dicatat pelumba berbakat besar itu jauh mengatasi pesaing-pesaing terdekatnya.
“Sejak sesi latihan bebas lagi, Qabil nampak berbeza dan dia yang paling laju, catatan masanya sentiasa kita catat dan secara keseluruhan potensi dia memang sangat tinggi berbanding pesaing-pesaingnya.
“Dengan penilaian prestasi tahun lepas dan motosikal tahun ini yang kompetitif tidak mustahil dia akan menang tiga atau empat perlumbaan lagi tahun ini,” katanya kepada pemberita sebaik tiba dari Sepanyol di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, kelmarin.
Zulfahmi mengulas pencapaian cemerlang Qabil Irfan dalam aksi pembukaan musim Kejohanan Superbike Sepanyol di Litar Jerez, selepas pelumba berusia 13 tahun itu merangkul dua gelaran dalam perlumbaan 1 dan 2 pada ESBK Talent Cup.
Mengulas pesaing Qabil Irfan, Izan Rodriguez yang muncul naib juara dalam kedua-dua perlumbaan itu, kata Zulfahmi, pelumba berusia 15 tahun tersebut merupakan penyandang gelaran musim lepas dan juga juara dunia MiniGP 2022.
“Tahun lepas ESBK Talent Cup dikenali sebagai pra-Moto3 dan Izan menjuarai kategori itu, Qabil pula dalam penampilan sulungnya tahun lalu, dia beraksi dalam kategori Moto4 dan dia merupakan juara dunia MiniGP 2023,” katanya.
Enggan mengambil mudah dengan kejayaan yang telah diukir, katanya, Qabil Irfan akan terus menerima latihan secara intensif kerana pusingan kedua menantinya di Litar Catalunya, Barcelona, Jun ini. – UTUSAN










