Harimau Malaya perlukan 'pemanas badan' gred A

Harimau Malaya perlukan ‘pemanas badan’ gred A

SKUAD Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski berjaya melonjakkan ranking pasukan kebangsaan di kedudukan 125 dunia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasukan di ranking 100 hingga 110 seperti Tajikistan, Guatemala, Tanzania, Namibia mahupun Mauritania antara lawan sepatutnya menjadi pilihan bagi aksi pemanas badan buat skuad Harimau Malaya sebelum turun menentang Vietnam.

Aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menentang skuad Naga Emas di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun ini adalah ujian sebenar Harimau Malaya dan Peter Cklamovski sendiri.

Pandangan itu disuarakan oleh pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Fauzi Pilus, berkata skuad negara kendalian Cklamovski ‘wajib’ mengelak berdepan pasukan di ranking bawahan seperti Papua New Guinea, Timor Leste dan lain-lain.

Katanya, ia bagi memastikan kemampuan sebenar skuad negara teruji sebelum bertemu Vietnam yang menduduki tangga 109 dunia itu.

Justeru, pasukan kebangsaan perlu mencari pencabar yang memiliki keupayaan sama seperti skuad Naga Emas itu.

“Kita ada beberapa pemain baharu khususnya tonggak warisan yang dipanggil. Jadi kita perlu menguji pemain ini dengan perlawanan-perlawanan berintensiti tinggi dan jadikan pasukan yang sama tara dengan Vietnam sebagai penanda aras.

“Pasukan negara tak boleh cari lawan seperti Timor Leste atau jauh lagi ranking ke bawah kerana ia tidak akan menguji pasukan.

“Untuk berdepan Vietnam bukan mudah, dan jurulatih perlu mengenal pasti kekuatan dan kelemahan kita sebaik mungkin dan lawan yang kuat diperlukan,” katanya.

Skuad Harimau Malaya yang berada di ranking 131 dunia kini mengumpul tiga mata untuk berada di tangga kedua Kumpulan F di belakang Vietnam yang juga meraih mata sama.

Perbezaan jaringan menjadi pemisah kedudukan antara Malaysia dan Vietnam apabila skuad Naga Emas membelasah Laos 5-0 manakala Harimau Malaya menang 2-0 ke atas Nepal pada aksi pertama Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027.

Kemenangan ke atas Vietnam amat penting buat skuad negara bagi memastikan misi layak ke Piala Asia 2027 menjadi kenyataan, di mana hanya juara kumpulan saja akan meraih tiket ke pusingan akhir itu nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×