KUALA LUMPUR: Kapten pasukan Sri Pahang FC, Fadhli Shas meluahkan rasa teruja dan bersemangat menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/2025 menentang juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) malam ini.
Mengimbau pengalaman beraksi di final Piala Malaysia, Fadhli mengakui perasaan kali ini berbeza apabila mewakili Sri Pahang, selepas pernah beraksi untuk Johor pada edisi 2014.
“Bagi saya, ini adalah salah satu pengalaman yang saya tak boleh lupa dalam karier bola sepak saya. Bermain di pentas final yang sama, tapi di dua pasukan yang berbeza.
“Dulu saya wakil Johor dan sekarang saya wakil Sri Pahang. Perasaan saya sangat teruja, dan saya harap esok, kami akan dapat memberikan yang terbaik,” katanya.
Fadhli berkata, dia dan rakan sepasukan menyedari kehebatan JDT, namun ia tidak menjejaskan semangat mereka untuk turun selaku underdog.

Dalam pada itu, kapten pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa berkata, perlawanan final adalah cabaran yang berbeza sama sekali dan menuntut pasukan kekal dengan identiti mereka.
“Final adalah perlawanan yang berbeza. Kami tahu Sri Pahang mempunyai pengalaman dalam kejohanan ini. Ia melibatkan pasukan besar di negara ini.
“Walaupun begitu, kami sedar akan tanggungjawab untuk mempertahankan kejuaraan, mempertahankan rekod, mempertahankan gaya permainan, mempertahankan segala-galanya.
“Kami berada dalam musim yang panjang dan sangat baik. Jadi, kami ingin menamatkan musim ini dengan cara yang kami lakukan. Itu sahaja yang saya tahu,” katanya. – UTUSAN










