PETALING JAYA: Pasukan boling negara bersiap sedia untuk mempertahankan kejuaraan Kejohanan Terbuka Malaysia ke-43 dengan harapan besar diletakkan ke atas pemain senior dan pelapis yang semakin menyerlah.
Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok berkata, skuad negara kini berada di tahap terbaik dan bakal memberikan saingan hebat kepada lawan di kejohanan kali ini.
“Kami mempunyai pasukan yang sangat kuat ketika ini. Dari segi prestasi, pencapaian dalam Kejohanan Asia dan Kejohanan Dunia membuktikan bahawa pasukan Malaysia kini berada pada tahap terbaik dalam sejarah,” katanya.
Katanya, kejohanan seperti IBF World Cup di Sweden pada Jun ini bakal menjadi pentas terbaik buat pemain pelapis negara seperti Adania Mohd Redzwan dan Anis Hannani Romzi untuk menonjolkan keupayaan mereka di peringkat dunia.
Selain itu, beliau turut menggariskan pemain muda seperti Wan Muhammad Zarif Ikram Wan Mazlan menunjukkan peningkatan prestasi yang mengagumkan dan berpotensi besar untuk menyertai skuad utama dalam masa terdekat.
“Kedua-dua mereka telah meraih kemenangan di luar negara dan membuktikan kemampuan untuk bersaing dengan pemain elit.
“Kami sentiasa percaya dan yakin mereka akan menjadi aset penting dalam masa terdekat,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Maradona turut mengesahkan bahawa temasya Sukan SEA dan Kejohanan Dunia adalah dua kejohanan utama yang menjadi sasaran utama skuad negara tahun ini.
“Persiapan rapi sedang dilakukan dengan pemilihan pemain yang sesuai bagi kedua-dua kejohanan.
“Kami serahkan keputusan kepada jurulatih untuk memastikan keseimbangan pasukan dan strategi terbaik dapat diterapkan,” katanya.
Pada edisi yang lalu, skuad negara cemerlang selepas Kategori Terbuka Lelaki menyapu bersih kedudukan podium dengan Muhammad Hafiz Zainuddin meraih emas, diikuti Syafiq Ridhwan dan Wan Muhd Zarif Ikram.
Dalam kategori Terbuka Wanita, Gillian Lim muncul juara, manakala tempat ketiga diraih oleh Natasha Roslan. – UTUSAN










