PETALING JAYA: Walaupun membuka langkah kanan di Piala Sudirman, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mengakui persembahan mereka ketika skuad negara menundukkan Perancis 5-0 semalam masih jauh dari tahap terbaik.
Gandingan No. 2 dunia itu hanya mengambil masa 29 minit untuk mengatasi Mael Cattoen-Lucas Renoir 21-11, 21-9, namun mengakui mereka bergelut menyesuaikan diri dengan keadaan angin dan kelajuan gelanggang di Xiamen, China.
“Kami masih cuba adaptasi dengan angin di gelanggang ini. Banyak lagi aspek perlu diperbaiki sebelum aksi lebih sengit nanti,” kata Sze Fei.
Walaupun menang besar, realitinya Malaysia berdepan Perancis yang pincang tanpa pemain utama seperti Alex Lanier, Toma Junior Popov, Christo Popov dan pasangan campuran Thom Gicquel-Delphine Delrue.
Sementara itu, Izzuddin turut berkongsi cabaran di gelanggang, mendedahkan bulu tangkis yang ‘berpusing’ selain tiupan angin kuat memaksa mereka berhati-hati dalam setiap pukulan.
“Bulu tangkis itu kelihatan perlahan. Pergerakan angin juga sangat kuat. Apa yang kami perlu buat adalah untuk membiasakan keadaan gelanggang ketika ini,” kata Izzuddin.
Malaysia mencatat kemenangan bersih 5-0 ke atas Perancis apabila semua pemain yang diturunkan mencatat kemenangan straight set pada kejohanan berkenaan, semalam.
Malaysia kini berada di landasan terbaik untuk layak ke suku akhir, namun skuad negara tidak boleh leka apabila bakal berdepan cabaran lebih getir menentang Australia dijadualkan pukul 9.30 pagi ini dan Jepun pada Khamis. – UTUSAN










