Apa guna tidur selesa jika pendidikan tidak bermutu?

Apa guna tidur selesa jika pendidikan tidak bermutu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELUANG untuk berinteraksi secara langsung bersama pemimpin negara ialah saat yang sangat dinanti-nantikan oleh para mahasiswa. Apatah lagi jika sesiapa sahaja dibenarkan bertanya soalan secara terbuka tanpa perlu membaca soalan yang telah disediakan.

Ia bukan sahaja dapat membuka ruang untuk kami mendapatkan jawapan tentang pelbagai persoalan berkaitan dasar kerajaan dan arah tuju negara, tetapi menghargai pandangan dan nasihat daripada para pemimpin sebagai pedoman.

Anak muda mahu didengari serta diberi peluang untuk memberi pendapat dan buah fikiran, bukan sebaliknya. Namun begitu apabila diberi peluang, biarlah apa yang dilontarkan itu bijak, relevan, berpijak di bumi yang nyata serta tidak sekadar bercakap seperti tin kosong. Janganlah bercakap hanya sekadar untuk bercakap, tetapi cakap itu biarlah ada maknanya.

Bagi warga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), peluang bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 April lalu dalam Program Temu Anwar amat besar maknanya kepada kami. Lebih-lebih lagi apabila beliau antara tokoh-tokoh penting dalam penubuhan institusi ilmu yang menjadi kebanggaan kami ini.

Ucapan Perdana Menteri banyak berkisar tentang ilmu, kebijaksanaan dan mencari kebenaran. Saya amat tertarik dengan kata-katanya tentang kepentingan mencerna ilmu untuk penyebaran kebenaran yang berkali-kali beliau tekankan dalam ucapannya. Persoalannya, sejauh manakah kesedaran kita tentang hal ini?

Beliau mengingatkan bukan semua maklumat yang diperoleh daripada media sosial, komputer dan kecerdasan buatan (AI) berbentuk ilmu. Malah, bukan semua ilmu menyumbang kepada kebijaksanaan jika salah dicerna. Justeru, cabaran utama dalam pendidikan adalah untuk memastikan pelajar mempunyai ilmu pengetahuan dan maklumat yang cukup, sambil berdaya membuat penilaian di antara perkara betul dan salah.

Perdana Menteri menasihati supaya memanfaatkan sepenuhnya masa serta menggunakan segala kemudahan untuk mencari dan mencerna ilmu sebanyak yang boleh. Ini sahaja masa dalam kehidupan di mana kita boleh bebas belajar dari siang ke malam tanpa henti memandangkan tugas utama pelajar adalah untuk menuntut ilmu.

Beliau turut membawa kami menghayati sejarah serta menerangkan matlamat penubuhan UIAM bagi menyedarkan pelajar tentang tanggungjawab besar yang ada di bahu kami. Bukan sahaja kami patut menjadi insan yang berilmu dan bijaksana, tetapi juga sentiasa gigih mencari dan memperjuangkan kebenaran serta menterjemahkan maksud Rahmatan Lil Alamin dalam kehidupan.

Dalam sesi soal jawab, Perdana Menteri mengejutkan saya apabila beliau meminta pendapat tentang apa lagi yang harus di lakukan sebagai seorang Perdana Menteri. Pada saat itu, perkara pertama yang saya fikirkan ialah kekecewaan apabila pembawaan nilai madani disalah anggap sebagai naratif politik semata-mata. Lebih parah lagi, ia dijadikan bahan ejekan oleh orang lain.

Amat merugikan jika nilai madani gagal diangkat. Kerangka madani bukanlah perkara yang baharu. Konsepnya telah dikemukakan dahulu lagi oleh tokoh cendekiawan Islam terulung, Al-Farabi.

Bezanya hanyalah kini Perdana Menteri telah menggariskan enam teras utama yang lebih relevan dalam konteks Malaysia zaman kini, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Ini merupakan nilai murni sejagat, bukan laungan politik semata-mata.

Bagi saya, nilai yang baik ini harus dijadikan amalan bagi membentuk masyarakat yang lebih bertatasusila demi kesejahteraan negara, walaupun ia dibawa oleh seorang pemimpin parti sekali pun.

Walaupun tidak mudah untuk mengubah persepsi tersebut, khasnya dalam kumpulan masyarakat yang terlalu berpolitik atau bersikap tidak ambil peduli, namun ia tidak mustahil untuk dilakukan jika kita semua berlapang dada mencari kebaikan.

 

ANWAR Ibrahim ketika Program Temu Anwar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), minggu lalu.

 

MUTU PENDIDIKAN
Dunia hari ini yang terlalu berkiblatkan kebendaan telah mengaburkan pandangan kita sehingga segala-galanya dilihat hanya dari sudut material termasuk nilai murni dan ilmu pengetahuan. Inilah punca keruntuhan masyarakat. Jika dibiarkan, ia turut akan meruntuhkan ketamadunan bangsa.

Kadangkala kita hanya mahukan peningkatan dari sudut material sahaja, namun tidak ambil endah mengenai mutu pendidikan. Kita tidak peduli jika kerangka akademik jurusan yang ditawarkan tidak dipertingkatkan setanding dengan keperluan dunia.

Hal ini turut dapat dilihat daripada soalan mahasiswa pada program tersebut. Ramai yang lebih banyak merungut tentang ketidakselesaan suasana kampus, tanpa menyedari kemudahan di sini jauh lebih baik berbanding banyak universiti awam lain. Kita tidak boleh mengharapkan keadaan asrama dan dewan kuliah yang serba mewah biarpun kerajaan mana pun yang memerintah.

Malah, tiada maknanya peningkatan keadaan fizikal di universiti jika mutu pendidikan tidak ditingkatkan. Mutu pendidikan yang ada akan menentukan peluang untuk bersaing di pentas dunia serta memartabatkan maruah negara bangsa. Tidak gunanya tidur selesa jika pendidikan tidak bermutu.

Perdana Menteri menerangkan dalam keadaan kewangan semasa, kerajaan tidak mampu memberikan segala yang diminta pelajar, melainkan jika cukai dinaikkan sebagai salah satu sumber dana. Takkanlah kita mahu bebankan ibu bapa dengan cukai tinggi hanya untuk membenarkan diri tidur selesa dengan mewah di asrama? Oleh itu, kerajaan perlu menilai apakah yang lebih penting dan perlu didahulukan.

Penerangan sebegini penting untuk memberi pemahaman kepada mahasiswa agar mereka tidak merasa diketepikan. Dengan sogokan permainan persepsi dan pelbagai maklumat tidak benar di media sosial, mahasiswa tidak boleh mudah melatah, sebaliknya harus bijak mencari kebenaran melalui saluran yang betul.

Dalam menyelesaikan masalah di peringkat universiti, saya mengharapkan peluang untuk semua pihak terlibat dapat duduk berbincang secara terbuka agar dapat mencari jalan keluar yang terbaik. Ia juga dapat mematangkan serta memberi pengalaman berharga kepada pelajar dalam menyelesaikan masalah secara praktikal.

Kami mengharapkan komitmen kerajaan dalam mempertingkatkan mutu pendidikan tinggi negara ke tahap yang lebih tinggi agar setanding dengan negara maju. Semoga lebih banyak dialog terbuka di antara pemimpin negara dan mahasiswa supaya suara kami dapat didengari.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya