Aliana 'berlumba' masa untuk pulih

Aliana ‘berlumba’ masa untuk pulih

ALIANA Syafika Azizan (kiri) bersama Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Anis Amira Rosidi menunjukkan pingat gangsa yang dimenangi mereka dalam acara pecut berpasukan Sukan Asia Hangzhou 2022. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“KETIKA saya terbaring di trek dengan badan tidak sedarkan diri selama 40 minit, saya tahu hidup saya tidak akan sama lagi,”

Memuatkan artikel berkaitan…

Kemalangan di YSD Track Series pada Oktober lalu bukan sekadar hentakan pada tubuh tetapi juga hentakan paling kuat terhadap keyakinan pelumba berbasikal trek negara, Aliana Syafika Azizan.

Pelumba kelahiran Pulau Pinang itu bukan saja patah tulang rusuk, tetapi gegaran otak (concussion) itu yang benar-benar menghantui setiap detik dalam proses pemulihannya untuk kembali ke Velodrom Nasional Nilai.

Dahulu beliau seorang pelumba yang yakin, agresif dan sentiasa berada dalam gear kelajuan, namun kini Alina perlu belajar semula untuk berdiri, perlahan-lahan.

“Saya sudah memulakan latihan semula, tetapi hanya dalam fasa ringan. Rakan sepasukan semua sudah di puncak prestasi, saya pula baharu hendak mula semula.

“Memang rasa sangat ketinggalan, kadang-kadang apabila tengok mereka semua meluncur laju, saya cuma mampu telan air liur dan senyum paksa,” kata Aliana kepada Mingguan Malaysia.

Atlet berusia 22 tahun itu bukan sekali terfikir untuk berhenti dek bukan kerana tidak sayang sukan ini, tetapi kerana rasa takut yang masih membelenggu.

Pening yang datang secara tiba-tiba di atas trek (latihan), bayangan kemalangan yang masih segar, semua itu membuatkan Aliana hilang arah.

“Orang luar tengok saya sudah pulih, tapi tiada siapa tahu apa yang sedang saya lawan di dalam diri. Saya pernah rasa seperti kehilangan diri saya sendiri, bukan saja sebagai atlet, tetapi sebagai manusia yang punya semangat.

“Bila bangun pagi, rakan-rakan ke trek latihan, saya pula ke hospital. Perasaan itu sangat menyakitkan, macam saya bukan sebahagian daripada mereka lagi,” katanya.

Aliana turut mengakui apabila tempatnya di dalam acara pecut berpasukan wanita diambil oleh pelumba muda mengguris hatinya, namun enggan menyimpan rasa itu sebaliknya gembira dengan skuad negara ada pelapis yang mampu menggalas tanggungjawab.

“Bukan mudah nak bangkit, bukan mudah nak ‘boom’ balik macam dulu. Tapi saya percaya, mungkin satu hari nanti saya boleh semula. 

“Ramai yang tak putus bagi semangat seperti jurulatih, ISN (Institut Sukan Negara), MSN (Majlis Sukan Negara), kawan-kawan. Saya syukur sangat kerana mereka tak pernah lupakan saya,” tambahnya.

Aliana juga mendedahkan Aidilfitri pada tahun ini memberi impak besar bukan kerana belum pulih sepenuhnya, tetapi kerana keluarganya yang sedang melalui perubahan besar.

“Kalau orang kampung tanya, Eh, kau dah berhenti kayuh ke? Saya cuma senyum dan jawab, saya masih kayuh, insya-Allah akan kembali’,” kata Aliana penuh semangat. – UTUSAN

BIODATA

NAMA: Nurul Aliana Syafika Azizan

TARIKH LAHIR: 21 Julai 2003

UMUR:: 22 Tahun

ASAL: Pulau Pinang

TINGGI: 1.7 meter

PERANAN: Pelumba pecut

PENCAPAIAN

Pingat Gangsa Sukan Asia 2022 (pecut berpasukan)

Pingat Perak Kejohanan Kebangsaan 2022 (keirin)

Pingat Gangsa Sukan Komanwel 2022 (pecut berpasukan)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN