'Sekurang-kurangnya mara ke final All England '

‘Sekurang-kurangnya mara ke final All England’

Lee Zii Jia perlu membuktikan keputusan yang positif apabila bertanding di badminton All England yang akan membuka tirai minggu depan. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao perlu membuahkan keputusan yang positif dalam acara perseorangan lelaki negara pada Kejohanan Badminton All England 2025.

Bekas jaguh badminton negara, Roslin Hashim berkata, kedua-dua pemain tersebut perlu memberikan saingan yang kompetitif dalam memastikan sekurang-kurangnya mampu ke final.

Katanya, walaupun sukar untuk menilai prestasi semasa kedua-duanya, persiapan mereka perlu berada di tahap terbaik untuk menghadapi kejohanan berprestij itu yang bakal berlangsung pada pada 11 hingga 16 Mac di Arena Birmingham, England.

“Kita tak boleh nilai prestasi mereka sebab kejohanan yang mereka sertai pun tak banyak, tapi dari segi persiapan, saya rasa ia cukup ketat.

“Zii Jia baru sahaja kembali beraksi selepas berehat panjang dan ini merupakan kejohanan kedua buatnya selepas Terbuka Jerman.

“Bagi Jun Hao pula, ini adalah pengalaman pertamanya di All England. Dia kena manfaatkan peluang ini kerana kejohanan ini adalah salah satu kejohanan besar dalam kariernya,” katanya.

Roslin menambah, All England bukan sahaja kejohanan yang sukar kerana kehadiran pemain terbaik dunia, tetapi juga menjadi medan penting untuk melihat sejauh mana tahap persediaan pemain negara.

“Setiap tahun All England menjadi medan saingan sengit kerana semua pemain terbaik akan turun beraksi. Status kejohanan ini juga sangat tinggi dengan hadiah wang tunai yang lumayan, jadi semua akan memberi aksi terbaik mereka.

“Kalau nak bercakap tentang peluang, ia bergantung kepada persiapan dan mental pemain sendiri. Bila dah masuk dalam undian utama, kena buat yang terbaik dan manfaatkan peluang yang ada,” katanya.

Kali terakhir Malaysia menjuarai acara perseorangan lelaki di pentas berprestij itu pada 2021 menerusi Lee Zii Jia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN