Sawda, Umairah lonjak ranking 10 terbaik dunia

Sawda, Umairah lonjak ranking 10 terbaik dunia

(Dari kiri) Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak, Sawda Abdullah dan Nurul Akhma Atiqah Ahmed Haizan menunjukkan pingat perak dimenangi mereka dalam acara pecut berpasukan wanita junior pada Kejohanan Trek Asia 2025 di Velodrom Nilai, sebelum ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sentuhan Herman Terryn mula membuahkan hasil apabila dua pelumba muda berbasikal trek negara, Sawda Hasbullah dan Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak berjaya menembusi kelompok 10 terbaik ranking dunia bagi acara pecut remaja buat julung kalinya.  

Sawda mencipta lonjakan luar biasa dari kedudukan ke-28 ke tangga keenam dengan 1,450 mata selepas merangkul emas dalam acara pecut individu dan perak dalam pecut berpasukan di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 bulan lalu.  

Terryn yang berasal dari Perancis berkata, pelumba berusia 17 tahun itu turut menunjukkan keupayaan dalam acara keirin apabila berjaya menamatkan saingan di tempat keempat pada kejohanan tersebut.  

Umairah turut mencipta kejutan apabila mendaki 30 anak tangga ke kedudukan ketujuh dunia selepas mengumpul 1,320 mata hasil kejayaan meraih dua pingat perak dalam acara keirin dan pecut berpasukan.  

“Kami berjaya menampilkan beberapa pelumba berbeza di ACC. Mereka laju tetapi masih kekurangan pengalaman berbanding pelumba Korea Selatan dan China yang sudah menyertai Kejohanan Dunia Remaja sebelum ini.  

“Sawda baharu beberapa bulan menjalani latihan di bawah bimbingan saya dan dia datang daripada pertandingan anjuran Yayasan Sime Darby (Siri Trek YSD),” kata Terryn kepada Utusan Malaysia.

Ranking dunia masih dikuasai pelumba Itali, Cenci Matilde, dengan 2,316 mata, diikuti oleh wakil Korea Selatan, Park Ye Been, yang menghuni tempat kedua selepas merangkul emas keirin dan gangsa pecut di ACC.  

Dalam ranking berpasukan pula, Malaysia kini berada di tangga kedua dengan 4,290 mata, hanya dibezakan dengan pasukan Itali yang mengumpul 5,153 mata.  

Sementara itu, Terryn mengakui prestasi atlet negara menunjukkan peningkatan ketara tetapi menegaskan cabaran lebih besar menanti di Kejohanan Dunia Remaja di Apeldoorn, Belanda, dari 20 hingga 24 Ogos ini.  

“ACC adalah kejohanan besar pertama untuk mereka, dan mereka telah menetapkan penanda aras yang baik untuk pelumba lain.

“Mereka mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh, tetapi matlamat utama adalah Kejohanan Dunia Remaja ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN