Ridwan sasar kelompok 28 terbaik di Turkiye

Ridwan sasar kelompok 28 terbaik di Turkiye

Muhammad Ridwan Sahrom (kiri) bersaing dengan pelumba China dalam aksi pecut Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2025 di Nilai bulan lalu. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba basikal trek negara, Muhammad Ridwan Sahrom meletakkan sasaran untuk menempatkan diri dalam kelompok 28 terbaik dalam acara pecut individu lelaki di Kejohanan Piala Negara-Negara UCI yang berlangsung di Konya, Turkiye hari ini.

Pengarah Teknikal Berbasikal Trek Negara, John Beasley berkata, bagi mencapai sasaran itu, Ridwan perlu memperbaiki catatan masa terbaik peribadinya dalam ujian masa 200 meter.

“Saya berharap Ridwan dapat mencatat sekitar 9.750 saat dalam ujian masa 200 meter. Jika berjaya, ini akan memastikan dia berada pada landasan yang betul dalam fasa kemuncak prestasinya.

“Ridwan seorang atlet berkualiti dan kini berada dalam tempoh menuju kemuncak prestasinya,” kata Beasley.

Beliau menambah, pengalaman dan keyakinan adalah aspek penting yang perlu dipertingkatkan oleh Ridwan dalam kejohanan ini.

“Adalah sesuatu yang baik jika dia dapat melepasi satu atau dua pusingan dalam acara pecut kerana ia akan memberi pengalaman dan meningkatkan keyakinannya di pentas antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri turut diberikan perhatian dalam kejohanan ini dengan sasaran untuk berada dalam kelompok 12 terbaik dalam acara keirin dan 16 terbaik dalam acara pecut.

Menurut Beasley, Izzah semakin menunjukkan kemajuan dari segi taktikal dan teknik perlumbaan, namun masih perlu meningkatkan kekuatan dalam pecutan untuk bersaing di peringkat tertinggi.

“Buat masa ini, yang paling penting adalah membuat keputusan yang tepat dalam perlumbaan. Apabila dia mendapat kekuatan tambahan, Izzah akan menjadi pelumba yang hebat dengan pelbagai kelebihan di dalam genggamannya,” katanya.

Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Konya menjadi pentas penting buat pelumba negara dalam usaha mereka memburu kecemerlangan di peringkat antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN