Pearly-Thinaah belum capai tahap sebenar

Pearly-Thinaah belum capai tahap sebenar

Pearly Tan-M Thinaah masih berdepan masalah mengekalkan konsistensi ketika menentang lawan. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak, mengakui pasangan Pearly Tan-M. Thinaah masih belum mencapai tahap sebenar permainan mereka tetapi menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun. 

Pasangan No. 5 dunia ini sedang berusaha membentuk konsistensi kerana setiap kejohanan mempunyai cabaran berbeza yang memerlukan penyesuaian taktikal dan mental.

Di Orleans Masters baru-baru ini, mereka tewas kepada beregu China yang baharu, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian, satu kekalahan yang menambah rekod kurang baik mereka menentang lawan dari negara itu. 

Namun, Rosman percaya ia adalah sebahagian daripada proses pembelajaran yang perlu dilalui oleh Pearly-Thinaah untuk terus meningkat.

“Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki, tetapi saya lihat ada peningkatan dalam permainan mereka. Mereka dalam proses membentuk konsistensi kerana setiap kejohanan berbeza dan memerlukan penyesuaian.

“Walaupun berdepan pasangan baharu, tahap mereka masih lebih baik daripada kita. Jadi, kita perlu menyesuaikan diri dengan cabaran tersebut dan memberi tumpuan kepada aspek fizikal serta strategi permainan,” kata Rosman kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.

Dalam perkembangan lain, kecederaan Pearly dilaporkan tidak begitu serius oleh Institut Sukan Negara (ISN), namun dia masih dalam proses pemulihan dan dijangka kembali ke gelanggang minggu hadapan. 

Rosman berkata, keputusan sama ada dia akan bertanding dalam kejohanan terdekat bergantung kepada tahap kecergasannya dan perbincangan dengan pasukan kejurulatihan.

“Kecederaan Pearly tidak begitu serius, tetapi dia masih menjalani pemulihan intensif. Kami akan menilai keadaannya sebelum membuat keputusan mengenai penyertaannya dalam kejohanan akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×