PETALING JAYA: Masalah prestasi yang ketika ini membelenggu beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dapat diatasi sekiranya mereka memperbaiki tahap kecergasan masing-masing.
Pasangan No. 2 dunia itu merupakan pilihan utama di Terbuka Switzerland terpaksa pulang awal selepas tewas 23-25, 21-15, 11-21 kepada gandingan dari Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita yang menghuni ranking ke-78 dunia.
Sebelum ini, harapan tinggi yang diletakkan kepada Sze Fei-Izzuddin untuk memenangi All England juga tidak kesampaian apabila tewas di pusingan kedua kepada pasangan Korea Selatan, Seo Seung Jae-Kim Won Ho.
Mengulas prestasi semasa mereka, legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek secara peribadi berpandangan bahawa Sze Fei-Izzuddin mempunyai corak permainan yang baik, namun kesilapan individu telah membuatkan mereka hilang mata.
Katanya, kesilapan individu dapat diatasi dengan memperbaiki tahap kecergasan agar mereka dapat bertarung dalam tempoh yang lebih lama.
“Apa yang saya lihat adalah keadaan fizikal mereka tidak begitu baik. Mereka bermain dengan baik di set pertama dan kedua pada Terbuka Switzerland namun memasuki set ketiga, mereka kelihatan lemah.
“Strategi permainan yang dipamerkan bagus tetapi apabila menuju penamat permainan rentak mereka semakin perlahan dan kerap melakukan kesalahan individu dan perkara itu berlaku berkemungkinan kurangnya tahap kecergasan fizikal.
“Kesilapan individu dapat diatasi dengan meningkatkan kecergasan fizikal malah penyudah mereka juga boleh menjadi lebih tajam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Razif yang menjuarai All England pada 1982 bergandingan bersama abangnya, Datuk Seri Jalani menolak bahawa corak permainan Sze Fei-Izzuddin yang dapat dibaca lawan menjadi punca kekalahan mereka. – UTUSAN











