LIVERPOOL: Mohamed Salah dilaporkan akan terus kekal di Liverpool setelah dia memasuki perbincangan serius mengenai pembaharuan kontraknya dengan kelab berkenaan.
Bintang Liverpool itu dikatakan telah menerima tawaran yang lebih menarik berbanding sebelum ini.
Kontrak Salah akan tamat pada penghujung musim ini dan sepanjang musim, dia telah memberi petunjuk bahawa dia lebih cenderung untuk meninggalkan kelab daripada kekal.
“Pengurusan Liverpool telah membuka perundingan dengan Rami Abbas, ejen Mohamed Salah untuk memperbaharui kontrak bintang Mesir itu dengan Liverpool untuk masa ini.
“Perundingan antara Liverpool dan Rami Abbas, ejen Salah, kini lebih terperinci berbanding sebelum ini dan tawaran yang diberikan adalah lebih tinggi daripada sebarang tawaran yang pernah dibuat kepada pemain itu,” kata satu sumber.
Tawaran baharu itu dikatakan berkait dengan perpindahan Trent Alexander-Arnold, yang juga kontraknya akan tamat pada musim panas ini.
Perpindahan Arnold akan menjadi faktor utama pembaharuan kontrak Salah, berikutan pengurangan bayaran gaji yang akan membolehkan tuntutan Salah dipenuhi Liverpool,” katanya.
Pertahanan Liverpool, Alexander-Arnold dilaporkan sudah bersetuju dengan tawaran Real Madrid dan hampir pasti menyertai juara Eropah pada musim panas nanti. – AGENSI/UTUSAN











