KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan tiada imbuhan rasmi untuk Tun Hakim Tun Hasnul Azam yang menjuarai Jelajah Persatuan Boling Profesional (PBA) di Amerika Syarikat (AS) memandangkan kejohanan berkenaan tidak berada dalam senarai program tajaan kerajaan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kejohanan seperti PBA bukan sebahagian daripada pertandingan yang dimuktamadkan oleh Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) bersama Majlis Sukan Negara (MSN).
“Sebelum mereka berlepas, saya sudah bertemu pasukan boling dan memang ada kejohanan yang ditaja kerajaan seperti Sukan SEA dan Sukan Asia tetapi PBA bukan salah satunya.
“Namun, kerajaan tetap mengucapkan tahniah kepada Tun Hakim atas kejayaan ini dan berharap pasukan boling negara akan terus membawa pulang kejayaan untuk Malaysia,” kata Hannah kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama Persatuan Penulis-penulis Sukan (SAM), di sini, kelmarin.
Terdahulu, Tun Hakim difahamkan membelanjakan wang sendiri sebanyak RM30,000 bagi menyertai jelajah yang berlangsung di AS itu selama hampir sebulan.
Mengulas mengenai insentif kemenangan, Hannah berkata, sebarang keputusan mengenainya perlu diputuskan terlebih dahulu oleh MTBC dan MSN.
Katanya, sistem insentif telah lama ditetapkan bagi kejohanan yang berada di bawah program tajaan kerajaan, dan sebarang perubahan perlu melalui perbincangan bersama pihak berkepentingan.
“Kita tidak boleh memberi ganjaran secara ad-hoc kerana ia boleh menjejaskan perbelanjaan yang telah dirancang.
“Untuk kejayaan seperti ini, kerajaan tidak menyediakan ganjaran kerana ia dilakukan secara persendirian, tetapi kita tetap menghargai pencapaian atlet negara,” katanya. – UTUSAN










