FAM terlalu berahsia pemain Harimau Malaya 

FAM terlalu berahsia pemain Harimau Malaya 

Pemain Harimau Malaya menjalani latihan semasa menyertai Piala ASEAN tahun lalu di padang Wisma FAM Kelana Jaya. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Senarai pemain yang bakal dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelang kempen kelayakan Piala Asia 2027 sehingga kini masih belum diketahui dan kekal rahsia.

Harimau Malaya di bawah kendalian jurulatih baharu, Peter Cklamovski dijangka membariskan gabungan di antara pemain warisan, naturalisasi serta anak tempatan selepas projek revolusi skuad kebangsaan dilaksanakan.

Bagaimanapun, pendekatan yang diambil oleh FAM terhadap barisan pemain itu telah menimbulkan tanda tanya terhadap perkembangan persiapan skuad Harimau Malaya menentang Nepal dalam aksi Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027, 25 Mac ini.

Justeru itu, pemerhati bola sepak tempatan yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Prof Madya Dr. Zulakbal Abd. Karim berharap FAM tidak terlalu berahsia mengenai persiapan Harimau Malaya.

“Jangan terlalu berahsia sampai orang tak tahu langsung mengenai perkembangan Harimau Malaya. Perlawanan bakal diadakan dalam tempoh 18 hari dan itu bukan satu tempoh yang lama. Namun, persiapan skuad kebangsaan masih belum kelihatan.

“FAM tidak boleh terlalu berahsia kerana perlu diingatkan kerajaan telah memberikan peruntukkan RM30 juta dan itu adalah duit rakyat jadi semua orang patut tahu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan peruntukan RM15 juta yang diumumkan pada Belanjawan 2025 khusus untuk pembangunan sukan bola sepak digandakan kepada RM30 juta, yang mana RM15 juta lagi akan dibiayai oleh pihak swasta.

Katanya, FAM telah pun mengumumkan individu penting dalam pembentukan Harimau Malaya seperti Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rob Friend, jurulatih, Cklamovski namun pemain skuad kebangsaan masih kekal misteri.

“Semua FAM dan umum dari ketua pegawai eksekutif sehinggalah ketua jurulatih tetapi pemain masih belum umum. Adakah disebabkan proses dokumentasi membabitkan pemain naturalisasi, kerana jika benar saya fikir tidak mengapa. Cuma, jangan terlalu berahsia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×