PETALING JAYA: Empat wakil negara meneruskan cabaran ke suku akhir diketuai S. Sivasangari pada pusingan kedua Kejohanan Skuasy Terbuka New Zealand di Christchurch, New Zealand, semalam.
Namun, Sivasangari yang menghuni ranking No. 7 dunia itu tidak diberi laluan mudah sebaliknya dipaksa bekerja keras sebelum menang ke atas pemain ke-29 dunia, Aira Azman 11-5, 8-11, 9-11, 11-8, 11-7 dalam masa 47 minit.
Hari ini, bintang skuasy No. 1 negara itu bakal berdepan pemain No. 9 dunia, Rowan Elaraby dari Mesir manakala seorang lagi wakil Malaysia Rachel Arnold mengetepikan cabaran Lee Ka Yi dari Hong Kong 11-4, 11-6, 9-11, 11-9 di pusingan kedua.
Laluan berliku menanti Rachel yang diletak selaku pilihan kelapan di suku akhir selepas dijadual berdepan pemain No. 8 dunia, Amina Orfi dari Mesir, hari ini, namun nasib berbeza menimpa Noor Ainaa Amani Ampandi yang tunduk kepada pemain No. 13 dunia, Salma Hany 3-11, 6-11, 11-13.
“Walaupun tewas, saya kutip pengalaman yang amat berharga, selepas ini saya akan menyertai Terbuka Australia yang bermula minggu depan,” kata Ainaa ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Sementara itu, dalam saingan lelaki, Ng Eain Yow menamatkan aksi garang wakil tuan rumah yang beraksi di atas tiket wild card, Oliver Dunbar daripada berlanjutan selepas menang 11-4, 11-1, 11-3 untuk mara ke suku akhir.
Dunbar yang mencipta kejutan pada pusingan pertama apabila menyingkirkan pilihan 9/16, Rui Soares dari Portugal, gagal mengulangi kejutan besar itu ke atas Eain Yow yang merupakan pilihan ketiga.
Di peringkat lapan terbaik, pemain No. 12 dunia itu bakal berdepan rakan senegara Sanjay Jeeva yang mengejutkan pilihan kelapan, Abdullah Al-Tamimi 10-12, 11-9, 11-6, 5-11, 11-6 di pusingan kedua. – UTUSAN











