PETALING JAYA: Pelari pecut 100 meter (m) negara, Muhammad Azeem Fahmi tidak akan bertanding di Kejohanan Olahraga Asia 2025 dekat Korea Selatan pada Mei ini.
Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard berkata, ia berikutan Azeem akan menumpukan perhatiannya bagi memburu tiket ke Kejohanan Akhir Olahraga Dalam Dewan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA).
Kejohanan Olahraga Asia diadakan pada 27 hingga 31 Mei ini bertindih dengan pusingan awal NCAA yang diadakan di Jacksonville, Florida, Amerika Syarikat (AS).
“Azeem ketika ini komited dengan pertandingan di universiti bagi menghadapi NCAA dan dia akan memberi tumpuan sepenuhnya pada pusingan kelayakan untuk menempah slot ke final.
“Pusingan awal NCAA bertindih dengan Kejohanan Asia. Matlamat utamanya adalah layak ke final NCAA,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Azeem berpangkalan di AS memulakan saingan musim ini dengan cemerlang apabila dia memecahkan rekod 60m dalam dewan sekali gus meraih pingat gangsa pada Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan SEC 2025 pada 1 Mac lalu lalu.
Pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2024 yang mewakili Universiti Auburn itu mencatatkan 6.56 saat (s) untuk berada di tempat ketiga pada aksi final acara 60 m yang berlangsung di Bryan-College Station, Texas, AS.
Kejayaan itu menyaksikan Azeem memperbaharui rekod kebangsaan miliknya, iaitu 6.60s dalam acara sama yang dilakukan pada Kejohanan Jemputan Tiger Paw di California, AS pada 14 Februari lalu. – UTUSAN











