BUENOS AIRES: Selepas kehilangan Lionel Messi, kini giliran penyerang Argentina, Lautaro Martinez terlepas perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Uruguay dan Brazil akibat kecederaan otot paha.
Martinez yang beraksi bersama Inter Milan kekal di bangku simpanan ketika menewaskan Feyenoord pada perlawanan kedua pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL), minggu lalu kerana ketidakselesaan otot.
Penyerang berusia 27 tahun itu kembali beraksi dan menjaringkan gol ketika Inter menang 2-0 ke atas Atalanta dalam saingan Serie A, Ahad lalu sebelum menyertai skuad kebangsaan Argentina bimbingan Lionel Scaloni.
Bagaimanapun, dia terpaksa diketepikan akibat kecederaan otot paha di kaki kirinya dan situasi itu pasti memeningkan kepala Scaloni yang turut kehilangan Messi akibat kecederaan.
Selain Messi dan Martinez, turut berada dalam senarai kecederaan Argentina dan terpaksa diketepikan adalah Gonzalo Montiel, Giovani Lo Celso dan Paulo Dybala.
“Martinez terpaksa diketepikan dalam skuad terkini Argentina, jurulatih (Scaloni) akan menilai prestasi untuk memastikan pasukan berada di prestasi terbaik berdepan Uruguay dan Brazil.” kata Persatuan Bolasepak Argentina (AFA).
Argentina kini mendahului carta kelayakan Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) dengan 25 mata selepas 12 perlawanan.
Juara Piala Dunia dan Copa America itu akan menentang Uruguay, yang berada di tempat kedua dan ketinggalan lima mata esok sebelum melayan kunjungan Brazil, yang berada di tempat kelima pada 26 Mac ini.
Argentina boleh mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Dunia, tahun depan menerusi dua perlawanan ini.
Enam pasukan teratas layak ke Piala Dunia di Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada manakala Bolivia kini menduduki tempat ketujuh dengan 13 mata.
Selepas 12 perlawanan, Messi mendahului senarai penjaring dengan enam gol.
Brazil pula tidak dapat menurunkan Neymar, 33, yang mengalami kecederaan paha dan terpaksa menangguhkan kepulangan bersama skuad kebangsaan. – AGENSI/UTUSAN










