JOHOR BAHRU: Pengendali skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya selepas menewaskan Nepal 2-0 dalam aksi pertama Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.
Beliau berkata, pemain berjaya menterjemahkan apa yang dipraktikkan dalam tempoh lapan hari latihan pusat dalam perlawanan itu.
“Bagi saya, pemain sudah memberikan aksi terbaik dan saya berbangga dengan komitmen mereka. Dalam tempoh 90 minit permainan, mereka sudah berikan segalanya.
“Biarpun hanya berlatih dalam tempoh yang agak singkat, mereka berjaya menunjukkan hasil latihan intensif itu termasuk sepakan percuma yang menghadirkan gol kedua perlawanan,” katanya selepas perlawanan.
Dalam aksi sulung Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027, Harimau Malaya menjaringkan dua gol menerusi Hector Hevel pada minit ke-30 dan Corbin Ong minit ke-70.
Cklamovski mengakui keputusan menang 2-0 ke atas Nepal cukup bermakna apabila tidak dibolosi lawan, namun masih terdapat ruang yang boleh diperbaiki bagi membolehkan pasukan memberi persembahan pada tahap tinggi.
“Permainan yang baik, malah pemain berjaya jelmakan banyak peluang namun hanya mampu meraih dua gol dan banyak lagi kerja yang perlu dilakukan bagi meningkatkan lagi prestasi pemain ke tahap lebih tinggi. Secara peribadinya, saya merasakan skuad ini memiliki potensi untuk jadi lebih baik,” katanya.
Mengenai aksi dipamerkan Faisal Halim yang dibawa masuk pada babak kedua, Cklamovski berkata, pemain Selangor itu telah memberi impak dengan menambah sengat jentera serangan dengan larian pantasnya.
“Setiap kali menerima bola, dia akan membuat larian dan mendatangkan resah kepada pertahanan lawan, itu kebolehannya yang kita tagih.
“Kemahiran ini yang kita perlukan dan ini juga merupakan kemunculan semula terbaik daripadanya setelah sekian lama tidak beraksi bersama-sama pasukan kebangsaan,” katanya. – UTUSAN







