PETALING JAYA: Ratu sukan luncur air negara, Aaliyah Yoong Hanifah mencipta sejarah apabila muncul wakil Asia pertama merangkul tiga pingat emas pada Kejohanan Universiti Dunia 2025 IWWF di Auckland, New Zealand, semalam.
Kejayaan yang diukir atlet berusia 21 tahun itu disahkan sendiri oleh badan induk sukan luncur air dunia iaitu Persekutuan Antarabangsa Sukan Luncur Air & Wakeboard (IWWF) menerusi media sosial, Instagram.
Aaliyah membawa pulang pingat emas dalam acara jump wanita selepas mencatat keputusan 44.7 meter (m), menewaskan peserta pilihan dari Austria, Lili Steiner di tangga kedua (43.5m) dan tempat ketiga menjadi milik atlet New Zealand, Lily Meade (41.5m).
“Saya memenangi pingat emas pertama dalam acara jump, ia cukup hebat. Saya tahu satu hari nanti saya akan melakar kejayaan di dalam kejohanan dunia.
“Sejak saya memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2011 dalam acara tricks ketika saya berusia lapan tahun, saya tahu satu hari nanti peluang itu akan tiba juga,” kata Aaliyah.
Pingat emas kedua Aaliyah hadir melalui acara tricks dengan kutipan mata 7,970 mata, selepas mengetepikan seorang lagi peserta pilihan, Hannah Stopnicki dari Kanada yang mengumpul 5,760 mata, manakala, tempat ketiga dimenangi atlet Australia, Layne Moroney yang mencatat 5,050 mata.
Namun begitu, dua kemenangan dalam acara jump serta tricks dan tempat keenam bagi slalom, sudah memadai buat Aaliyah merangkul pingat emas ketiga untuk disiplin keseluruhan selepas mengumpul 2,863.64 mata. – UTUSAN










