7 warisan baharu lengkap revolusi Harimau Malaya   

7 warisan baharu lengkap revolusi Harimau Malaya   

Pemain warisan baharu, Hector Hevel (dua dari kiri) menjaringkan gol ketika membantu kemenangan Malaysia ke atas Nepal dalam Kelayakan Piala Asia 2027, baru-baru ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya bakal menerima suntikan kekuatan baharu apabila tujuh pemain warisan akan menyertai pasukan dalam masa terdekat, sekali gus meningkatkan daya saing di pentas antarabangsa.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menerusi satu kenyataan berkata, perkembangan ini bakal menambah mutu permainan pasukan kebangsaan yang ketika ini sudah menunjukkan peningkatan ketara.

Katanya, meskipun perjalanan pasukan masih jauh, perkembangan positif dapat dilihat, khususnya dalam aspek struktur permainan serta intensiti sepanjang 90 minit perlawanan.

“Semalam kita dapat lihat struktur permainan yang mantap, intensiti permainan selama 90 minit juga sangat tinggi. 

“Tujuh lagi pemain Malaysia di luar negara akan menambah kualiti dan membantu pasukan. Apa yang penting, pasukan negara beraksi dalam kejohanan antarabangsa bertaraf tinggi dan dihormati,” katanya.

Perkembangan ini hadir selepas aksi meyakinkan Malaysia yang menundukkan Nepal 2-0 dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim(SSI) pada Selasa, dengan Hector Hevel menjadi antara watak penting dalam kejayaan tersebut. 

Pemain tengah kelahiran Belanda itu mempamerkan aksi cemerlang dengan mencetak nama selaku penjaring pertama serta mengawal permainan dan mencipta peluang kepada barisan serangan.

Kehadiran pemain warisan berkelas tinggi dijangka mampu memberikan lebih banyak pilihan taktikal kepada ketua jurulatih, Peter Cklamovski, dalam memperkukuhkan lagi cabaran Malaysia terutama menentang Vietnam pada 10 Jun ini.

Tunku Ismail turut menekankan bahawa dalam usaha mencapai matlamat besar bola sepak negara, kesepaduan dan kesabaran adalah elemen penting.

“Keutamaan bukanlah pada kelajuan, tetapi arah yang kita tuju,” katanya.

Dengan momentum positif serta tambahan tenaga baharu, impian untuk melihat Harimau Malaya beraksi dengan lebih garang di pentas antarabangsa kini semakin hampir menjadi kenyataan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×