PETALING JAYA: Pemerhati bola sepak tempatan, Dr. Zulakbal Abd Karim menyuarakan harapan agar kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi penekanan kepada pemerkasaan Liga Malaysia (Liga M) demi mengembalikan semula kegemilangan bola sepak tempatan.
Menurutnya, selain usaha memperkukuh skuad Harimau Malaya, liga tempatan juga perlu diberi perhatian serius kerana ia merupakan ‘wajah’ sebenar bola sepak negara.
“Kita tidak boleh hanya menumpukan kepada pasukan kebangsaan sahaja, sedangkan liga tempatan kita terumbang-ambing.
“Liga M perlu diangkat menjadi lebih kompetitif supaya penyokong kembali berpusu-pusu ke stadium seperti era kegemilangan dahulu,” katanya.
Beliau turut menggesa Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bersama-sama FAM mengadakan sesi libat urus dengan penyokong bagi memahami keperluan mereka dalam memperkasa liga tempatan.
“Pihak berkepentingan perlu lebih terbuka mendengar suara penyokong dan memahami kehendak mereka. Mungkin satu sesi ‘FAM Mendengar’ boleh diwujudkan untuk mendapatkan maklum balas daripada rakyat dan penyokong,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan pembangunan akar umbi yang dianggapnya sebagai asas kejayaan bola sepak negara dalam jangka masa panjang.
“Ramai jurulatih luar dibawa masuk untuk membangunkan Harimau Malaya, tetapi pembangunan akar umbi masih kurang diberi perhatian. Ini sepatutnya menjadi agenda utama kepimpinan baharu FAM.
“Nama-nama besar seperti Zainal Abidin Hassan dan Dollah Salleh boleh dilibatkan dalam usaha ini bagi memastikan pembangunan bola sepak remaja dan belia lebih tersusun,” katanya.
Beliau berharap kepimpinan baharu FAM benar-benar bersedia untuk melakukan revolusi dalam landskap bola sepak negara dengan memberikan perhatian kepada ketiga-tiga aspek utama, iaitu skuad kebangsaan, liga tempatan dan pembangunan akar umbi.
“Jika ketiga-tiga aspek ini diberi tumpuan serius, saya yakin bola sepak Malaysia mampu kembali berada di puncak kegemilangan seperti era 90-an dahulu,” katanya.
FAM sebelum ini menyaksikan perubahan dalam tampuk kepimpinan dengan beberapa muka baharu dan lama mengisi jawatan utama bagi mengemudi badan induk bola sepak negara itu ke arah masa depan lebih cemerlang.










