TAHUN ini merupakan ulang tahun Hari Wilayah Persekutuan ke-51, ulang tahun yang menjadi peringatan penting kepada setiap warga wilayah di negara ini.
Malah, hari penting ini juga perlu diperingati dan diteruskan oleh generasi baharu golongan belia dalam memajukan lagi Wilayah Persekutuan untuk 50 tahun akan datang.
Ikuti temubual Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP), KHAIRUL RIZAM ABU SAMAH bersama wartawan Utusan Malaysia, OMAR ZIN dan jurufoto, FARIZ RUSADIO baru-baru ini.
SIGNIFIKAN SAMBUTAN HARI WILAYAH PERSEKUTUAN
Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari menandakan ulang tahun penubuhan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan pada 1974, diikuti Labuan (1984) dan Putrajaya (2001).
Hari ini seharusnya menekankan tanggungjawab bersama bagi usaha memajukan ketiga-tiga wilayah dalam kerangka besar menyemai semangat patriotik dan kenegaraan.
Sambutan ini juga menjadi platform menghargai peranan unik setiap warga wilayah.
HALA TUJU 2025
Tahun ini, MBWP sedang menumpukan perhatian pada tiga fokus utama iaitu pengukuhan kesejahteraan sosial, pemberdayaan kemahiran dan inovasi masyarakat serta pembangunan kapasiti kepimpinan belia.
Kesejahteraan sosial seluruh warga merupakan prasyarat penting dalam menjamin kehidupan yang selamat dan harmoni di Wilayah Persekutuan.
Jadi dengan gandingan dan kepelbagaian latar belakang badan gabungan MBWP, belia mampu memainkan peranan sebagai agen perpaduan bagi masyarakat yang rencam di Wilayah Persekutuan.
Untuk makluman, MBWP terdiri dari 30 buah pertubuhan belia, meliputi badan unit beruniform seperti Pengakap, Pandu Puteri dan Puteri Islam, juga pertubuhan berasaskan kaum buat belia berbangsa Cina, Melayu dan India. MBWP juga dianggotai oleh pertubuhan berasaskan agama dan kepercayaan seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Buddha Muda.
Dengan gandingan belia dari pelbagai latar dan kepakaran, MBWP mempunyai kolaborasi yang erat dengan agensi-agensi kerajaan dalam memastikan kepentingan dan agenda pembangunan belia di Wilayah Persekutuan, sentiasa diberikan keutamaan oleh semua, kerana belia adalah harapan kepimpinan negara pada masa hadapan.
Atas kesedaran ini, MBWP akan melaksanakan pelbagai inisiatif dalam lapangan pembangunan kepimpinan, pelatihan TVET, kelestarian alam sekitar, intervensi keciciran pendidikan dan juga terlibat untuk memangkin keberjayaan Kepengerusian ASEAN pada tahun ini.
PRESTASI MBWP
Sejak kepimpinan baharu MBWP dilantik pada April 2024, MBWP terlibat langsung dalam pelbagai inisiatif bersifat tempatan, nasional dan global.
Antaranya, MBWP menjadi hos kepada kumpulan Persatuan Pelajar Komanwel dalam siri lawatan belajar mereka ke Malaysia.
MBWP juga menganjurkan Fiesta Belia Merdeka pada September tahun lepas, bertempat di Dataran Merdeka dan berjaya mengumpulkan lebih 10,000 orang belia dari pelbagai segmen minat dan hobi, dengan gandingan strategik bersama Pejabat Perdana Menteri dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Belia kita di Wilayah Persekutuan juga memainkan peranan dalam mengukuhkan hubungan diplomatik Malaysia.
Bersempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China pada tahun lepas, MBWP bersama Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga menganjurkan Larian Persahabatan Malaysia-China, yang meraih penyertaan ribuan belia dan warga kota.
Atas kesempatan ini, MBWP juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada rakan-rakan di Keretapi Sarong atas pengiktirafan dan penerimaan Anugerah Pemeliharaan Budaya ASEAN 2025, yang menjadi bukti daya kreatif belia di rantau ini.
Antara yang terkini, MBWP baru selesai mengadakan Ceramah antiscam bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur, yang mana kita berjaya mengumpulkan 22 buah pertubuhan komuniti Cina untuk meningkatkan kewaspadaan mereka terhadap ancaman scammer, terutamanya di ambang musim perayaan Tahun Baru Cina, yang mana lazimnya mereka masing-masing akan memegang sejumlah nilai wang yang besar.
CABARAN
Ada dua cabaran dan dilema besar dalam mengemudi hala tuju pembangunan belia di Wilayah Persekutuan.
Yang pertama dan paling utama adalah, walaupun usia Wilayah Persekutuan pada tahun ini mencecah 51 tahun, sehingga kini kita masih belum ada Dasar Pembangunan Belia Wilayah Persekutuan.
Dalam erti kata lain, kita ada kelompongan dasar dan vakum polisi yang amat luas dalam memandu perkembangan belia di Wilayah Persekutuan.
Sebagai contoh, melalui Dasar Belia Selangor yang antaranya menekankan tentang pembangunan e-sukan telah menyaksikan kelahiran Selangor Red Giants (SRG) yang menjuarai pertandingan ternama di peringkat antarabangsa.
Selagi kita tidak dapat merumuskan Dasar Pembangunan Belia Wilayah Persekutuan, maka belia di Wilayah Persekutuan akan terus tercicir dari pembangunan mampan yang bersasar.
Antara cabaran utama yang lain adalah dinamika latar masyarakat yang berbeza di kesemua tiga Wilayah Persekutuan.
Isu belia di Putrajaya, berbeza dengan isu belia di Kuala Lumpur. Sama juga dengan Labuan.
Isu logistik seperti pengagihan sumber tidak sekata antara tiga wilayah turut menyukarkan pelaksanaan program seragam.
Apapun, MBWP komited untuk mengatasi hal ini antaranya melalui projek silang belia antara ketiga-tiga Wilayah Persekutuan yang akan mula dilancarkan pada tahun ini.
Program pertukaran budaya antara belia daripada ketiga-tiga Wilayah Persekutuan adalah usaha baharu untuk mengukuhkan kebersamaan antara belia di seluruh Wilayah Persekutuan, dan mudah-mudahan mengukuhkan lagi ikatan persefahaman antara warga Wilayah Persekutuan.
USAHA KERAJAAN DAN MASYARAKAT
Yang paling utama, kerajaan perlu mempercepatkan usaha perangkaan Dasar Pembangunan Belia Wilayah Persekutuan, seraya menetapkan hala tuju yang jelas dalam memastikan belia mampu mendepani cabaran masa hadapan seperti krisis perubahan iklim, populasi menua dan kepesatan kemajuan digital.
Pewujudan dasar ini juga akan menatijahkan penjimatan sumber yang signifikan terhadap agensi dan jabatan kerajaan di seluruh Wilayah Persekutuan.
Dari sisi masyarakat pula, MBWP menyeru lebih ramai keterlibatan belia dan komuniti bandar dalam menjayakan visi kesejahteraan bandar.
Kami mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa kitaran kemiskinan bandar boleh diatasi dengan usahasama seluruh lapisan masyarakat, secara proaktif dan sistemik.
HARAPAN
MBWP berharap belia Wilayah Persekutuan terus menjadi pelopor perubahan melalui inovasi kemasyarakatan.
Kami mensasarkan belia lebih banyak terlibat projek di peringkat nasional dan antarabangsa serta peningkatan penyertaan belia dalam program pembangunan komuniti.
Kami juga berhasrat agar kerjasama antara jabatan kerajaan dan sektor swasta dapat terus diperkukuh, dalam menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai model pembangunan belia ASEAN yang inklusif dan mampan.-UTUSAN










