MANCHESTER: Manchester United tidak akan melakukan pembelian panik menjelang hari terakhir perpindahan Januari bagi mengelak kesilapan sama yang pernah dilakukan pengendali terdahulu.
Pengendalinya, Ruben Amorim berkata, biarpun pasukan tewas sekali lagi di laman sendiri dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, itu bukan bermakna pembelian pemain perlu dilakukan.
Selepas kekalahan 2-0 di tangan Crystal Palace semalam, United kini tewas tujuh kali dalam 13 perlawanan liga di laman sendiri musim ini, menyamai jumlah tertinggi di peringkat ini pada kempen 1893-94.
Ketandusan gol seakan rutin buat United, dengan hanya Everton dan tiga pasukan tercorot mengumpul gol lebih sedikit berbanding anak buah Amorim dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Dengan hanya sehari sebelum jendela perpindahan ditutup, Amorim berkata, beliau tidak perlu panik dalam pasaran perpindahan dan akan menilai keseluruhan prestasi anak buahnya.
“Kami mencuba segalanya untuk memperbaiki pasukan tanpa perlu melakukan kesilapan (perpindahan) sebelum ini. Kami sedar kesemua aspek kelab ini tetapi kami sedang berusaha.
“Apabila jendela ditutup kita akan melihat pemain-pemain, saya fokus terhadap menambah baik pasukan, kami perlu memenangi lebih perlawanan dan kami akan cuba melakukannya, itulah keadaannya musim ini.
“Kami memerlukan sedikit perubahan, cuba memenangi mata, memenangi momentum, kemudian ada halangan dan kami akan bangkit lagi,” kata Amorim.
Amorim masih belum merakam dua kemenangan berturut-turut dalam aksi liga sejak mengambil alih pasukan pada November, tetapi percaya persembahan ketika menentang Palace menunjukkan peningkatan.
“Persembahan bertambah baik. Tidak banyak, tetapi saya rasa kami bermain lebih baik berbanding perlawanan lain, termasuk ketika menentang Southampton, lebih baik hari ini.
“Tetapi jika berterusan kalah, terutama di laman sendiri, anda akan merasai yang peningkatan kecil itu tidak bermakna. Ayuh cuba lagi pada perlawanan seterusnya,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










