KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang pada anggapannya terlalu obses mahu menukar sistem kiraan mata permainan.
Bekas legenda Indonesia itu menyifatkan cadangan menukar format kembali kepada 15 mata sebagai tidak relevan dan berpotensi mengganggu kestabilan sukan tersebut.
Beliau mempersoalkan mengapa BWF hanya menumpukan perhatian kepada sistem kiraan mata, sedangkan masih banyak aspek lain yang perlu diperbaiki demi kemajuan badminton.
“Kenapa asyik mahu tukar kiraan mata? Apa yang mereka cuba perbaiki sebenarnya? Sekarang yang difikirkan hanya mahu tukar sistem, bukan melihat apa yang lebih baik di masa depan.
“Tenis dimainkan selama enam hingga 10 jam pun masih ramai yang mahu menonton. Jangan hanya fikir kiraan mata, sebaliknya fokus pada usaha memperkasakan sukan ini.
“Saya bukan kecewa, tetapi apa sebenarnya yang perlu diubah lagi? Kiraan 21 mata sudah cukup bagus, kenapa mahu ditukar lagi,” katanya selepas sesi latihan di ABM, semalam.
BWF sebelum ini mengumumkan percubaan menguji semula format 15 mata yang akan bermula April ini dalam kejohanan tertentu sebelum keputusan muktamad dibuat pada 2026.
Usul menggunakan sistem 15 mata bagi menggantikan sstem 21 mata telah mendapat sokongan Majlis BWF dalam mesyuarat yang diadakan pada 9 November lalu.
Bagaimanapun, cadangan itu terus mendapat bantahan daripada ramai jurulatih dan pemain yang tidak yakin perubahan tersebut akan membawa impak positif kepada badminton. – UTUSAN










