Tiga bekas pemain La Liga perkuat JDT? 

Tiga bekas pemain La Liga perkuat JDT? 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) dikhabarkan bakal mendapatkan khidmat tiga bekas pemain yang pernah beraksi di La Liga Sepanyol bagi memperkuatkan pasukan berkenaan.

Tiga pemain yang hangat diperkatakan itu ialah dua tonggak di jentera tengah iaitu Jonathan Viera dan juga Roque Mesa manakala seorang lagi adalah bek tengah, Alvaro Rodriguez.

Khabar angin itu dikuatkan lagi dengan pendedahan media Sepanyol yang menyatakan tiga pemain terbabit bakal terbang bagi melengkapkan perpindahan ke Harimau Selatan.

Difahamkan, keputusan untuk menandatangani pemain baharu dibuat selepas Enzo Lombardo, Syahmi Safari, Sho Hong Wan dan Feroz Baharudin mengalami kecederaan jangka panjang.

Langkah berkenaan juga dibuat bagi memperkasakan Harimau Selatan kendalian Hector Bidoglio dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) yang membabitkan pasukan gergasi Asia.

Dalam saingan di peringkat Asia itu, JDT berada dalam kedudukan terbaik untuk layak ke pusingan kalah mati apabila berada di tangga keenam selepas mengumpul enam mata dengan berbaki dua lagi perlawanan.

Ketika ini, JDT sememangnya mendominasi arena bola sepak tempatan apabila menghuni tangga teratas kedudukan Liga Super selain turut menjulang kejuaraan Piala FA dan mara ke final Piala Malaysia.

“Jonathan Viera, Roque Mesa dan Álvaro González bakal menyertai menyertai Jese (Rodriguez) di JDT iaitu kelab terkuat di Malaysia.

“Ketiga-tiga pemain itu menyertai pasukan yang sudah hampir menakluk liga tempatan, dengan matlamat untuk melayakkan mereka ke Liga Juara-Juara Asia,” lapor media Sepanyol itu.

Viera menghabiskan sebahagian besar karier bersama kelab Sepanyol seperti Valencia, Las Palmas dan Almeria manakala Mesa pernah beraksi bersama Swansea City di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Gonzalez pula merupakan bekas pertahanan Sepanyol B-21 yang menjuarai kejohanan bawah umur Eropah selain pernah menyarung jersi pasukan gergasi Perancis, Olympique de Marseille.

Difahamkan, ketiga-tiga mereka kini berstatus ejen bebas dengan kelab terakhir Viera adalah Khor Fakkan di UAE sementara Mesa bersama Sporting Gijon di Sepanyol dan Gonzalez bersama Al Qadsia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN