'Tidak lama lagi'

‘Tidak lama lagi’

Hantaran Ferdy Druijf dalam laman media sosialnya menguatkan lagi tanggapan ramai pemain Belanda itu akan menyertai skuad Harimau Malaya. - FB FREDY DRUIJF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah pemain Belanda yang dikaitkan sebagai pemain warisan Harimau Malaya, Ferdy Druijf memuat naik hantaran ‘tidak lama lagi’ dalam media sosialnya mengundang perspektif positif dalam kalangan peminat negara ini.

Perkembangan itu membuatkan peminat bola sepak tempatan teruja mengikuti perkembangan semasa dengan ramai yang beranggapan Druijf adalah pemain warisan baharu Malaysia.

Penyerang Rapid Vienna itu antara calon pemain warisan yang dikatakan akan dipanggil memperkuatkan Harimau Malaya menjelang pusingan kelayakan ketiga Piala Asia bermula bulan depan.

 “Tidak lama lagi,” kata pemain berusia 26 tahun di laman Instagram sebagai kapsyen untuk gambarnya yang sedang menimbang bola dan sebelum ini dia turut memuat naik kiriman ‘harap bersabar’.

Kenyatan Druijf itu hadir selepas Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Robert Friend memaklumkan proses mendapatkan pasport Malaysia untuk pemain warisan dari Belanda kini berada di peringkat akhir. 

Selain pemain warisan dari Belanda itu, Friend turut memaklumkan, pihaknya kini sedang melakukan proses yang sama untuk tiga lagi pemain warisan.

Sebelum ini, pencetus revolusi Harimau Malaya, Tunku Mahkota Ismail mendedahkan enam hingga tujuh pemain warisan dari Eropah Selatan bakal menyertai Harimau Malaya.

Ini sekali gus kembali mengaitkan bekas graduan FC Barcelona, Naim Garcia bersama Harimau Malaya kerana umum mengetahui pemain itu kini beraksi dalam saingan LaLiga di Sepanyol.

Selain Naim, beberapa nama turut dikaitkan untuk sertai Harimau Malaya, namun sehingga kini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak membuat sebarang pendedahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN