PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengadakan pertemuan dengan beregu lelaki utama negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, bagi menerangkan program Road To Gold (RTG) selepas mereka sebelum ini tidak pernah menerima tawaran tersebut.
Menurutnya, ramai pemain badminton negara sudah mengetahui mengenai RTG dan pernah ditawarkan penyertaan, namun perkara itu tidak berlaku kepada Sze Fei-Izzuddin.
Ketika ditanya sama ada Sze Fei-Izzuddin berpeluang diserap ke dalam RTG selepas menghuni ranking ke-2 dunia, Hannah menjelaskan bahawa keputusan dibuat berdasarkan prestasi semasa.
“Sebelum ini saya tidak berpeluang bertemu mereka (Sze Fei-Izzuddin) kerana mereka sentiasa menyertai kejohanan, tetapi sekarang mereka adalah pasangan No. 1 Malaysia dalam beregu lelaki.
“Mereka akan tahu sama ada mereka masuk atau keluar daripada RTG berdasarkan ranking mereka. Semalam (kelmarin) saya bertemu mereka untuk menjelaskan bagaimana RTG berfungsi.
“Saya turut mendengar cabaran yang mereka hadapi, terutamanya selepas tidak lagi bersama BAM (Persatuan Badminton Malaysia),” kata Hannah kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Le Tour De Langkawi (LTdL) 2025 di Menara KBS, semalam.
Terdahulu, Hannah bertemu dengan beregu profesional negara itu di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membincangkan mengenai RTG, kelmarin.
Sementara itu, Hannah turut memberi bayangan bahawa lebih ramai atlet profesional berpeluang menerima sokongan RTG menerusi jawatankuasa baharu yang akan diumumkan bulan Mac nanti.
“Sekretariat RTG kini sedang menyusun senarai atlet bertaraf 10 terbaik dunia dalam sukan Olimpik yang akan diberikan sokongan,” tambahnya. – UTUSAN










