PETALING JAYA: Kejayaan Selangor FC melangkah ke final Piala Cabaran selepas menumpaskan Penang FC 2-0 secara agregat adalah hasil kerja keras para pemain.
Pengendalinya, Katsuhito Kinoshi berkata, dalam perlawanan separuh akhir kedua, semalam anak buahnya memberikan prestasi terbaik bagi mengelak Penang melakar kebangkitan.
“Ini adalah aksi kedua dan Selangor menang 1-0 sebelum ini, jadi kami tahu jika keputusan berakhir seri, kami layak ke final tapi saya beritahu pemain kita perlu menang.
“Sasaran kami untuk jaringkan satu gol di babak pertama tetapi kita tahu Penang sangat agresif dan bermain baik, tapi kami berjaya mengimbangi serangan mereka.
“Kami juga ada memberi ruang buat Penang mengasak kubu Selangor tetapi Kalamullah (Al-Hafiz) berjaya menafikan dan bernasib baik (ada yang) terkena tiang selain turut dihalang pertahanan.
“Tetapi ini juga adalah keputusan di atas segala usaha keras kami, mereka (pemain) tidak pernah berputus asa mencabar bola tinggi dan kelirukan pihak lawan,” kata Kinoshi.
Sementara itu, pengendali Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail mengakui kualiti yang dimiliki Selangor menjadi pemisah dengan skuad kendalian dalam perebutan tiket ke final.
“Alhamdulillah, daripada minit pertama, perlawanan seimbang dan peluang lebih memihak kepada Penang dengan serangan yang dilakukan. Tetapi peluang yang seharusnya bagi saya 90 peratus boleh masuk.
“Tetapi saya harus beri pujian kepada penjaga gol lawan kerana menidakkan peluang-peluang kita yang dapat. Pada babak kedua, saya tegaskan kepada pemain untuk teruskan momentum pertama ke 45 minit yang kedua.
“Jadi, alhamdulillah benda itu terjadi. Cumanya, kesilapan kecil berlaku di bahagian kita di mana kita dihukum pemain berkualiti. Itulah perbezaan yang saya akui, perbezaan kualiti antara Selangor dan Penang,” katanya.
Menanti Selangor di final Piala Cabaran nanti adalah PDRM FC yang menyingkirkan Kedah Darul Aman (KDA) FC menerusi penentuan sepakan penalti. – UTUSAN










