PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa Giorgio Rossi Pompili Rossi bukan lagi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu.
Kelmarin, bertutup kencang spekulasi tentang jodoh Rossi bersama MFL yang difahamkan telah berakhir selepas dipecat.
Tanggungjawab sebagai CEO itu akan dipangku sementara oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd.
“Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini (semalam) mengesahkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif, Giorgio Pompili Rossi tidak lagi bersama MFL.
“Kedua-dua pihak kini dalam proses perbincangan untuk tindakan seterusnya. Buat sementara ini, operasi sekretariat MFL akan diterajui oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd,” kata MFL dalam satu kenyataan, semalam.
Sepanjang lima bulan Rossi memegang jawatan itu, tiada sebarang perubahan dilakukan beliau, selain meneruskan apa yang telah dibina oleh bekas CEO MFL, Datuk Stuart Ramalingam.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya menyifatkan keputusan itu bukanlah perkara yang mengejutkan kerana Rossi tidak memiliki pengalaman menguruskan mana-mana liga besar di Asia Tenggara.
“Bukan satu keputusan mengejutkan kerana beliau sekadar duta La Liga dan tidak mempunyai pengalaman menguruskan saingan liga yang besar. Diharapkan calon baharu nanti mampu membawa Liga M ke tahap lebih baik,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia semalam melaporkan jodoh Giorgio Rossi bersama MFL berakhir selepas difahamkan dipecat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MFL, kelmarin.
Menguatkan lagi spekulasi itu, Rossi juga tidak menghadiri perjumpaan MFL bersama semua Ketua Pegawai Eksekutif kelab Liga Malaysia (Liga M) di sebuah hotel di sini, kelmarin.
Menurut sumber kepada Utusan Malaysia, keputusan pemecatan itu dibuat Selasa lalu selepas pengurusan tertinggi MFL mengambil kira beberapa aspek dan keputusan itu terpaksa diambil. – UTUSAN










