PETALING JAYA: Pelumba basikal trek negara, Muhammad Ridwan Sahrom yakin kecederaan kecil yang dialaminya tidak akan menghalangnya daripada memberikan aksi terbaik pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 yang bakal berlangsung Jumaat ini.
Menurut Ridwan, walaupun mengalami sedikit ketegangan otot, dia telah menjalani rawatan fisioterapi dan pemulihan secukupnya bagi memastikan dalam keadaan terbaik menjelang kejohanan itu.
“Saya ada sedikit masalah ketegangan otot, tetapi ia tidak akan mengganggu kayuhan saya di ACC nanti.
“Saya telah menjalani sesi rawatan dan pemulihan bagi memastikan saya berada dalam kondisi terbaik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Ridwan yang akan turun dalam acara pecut individu dan berpasukan berharap dapat mencipta keputusan cemerlang, termasuk memperbaiki catatan masa terbaik peribadinya (PB) dalam acara pecut.
“Saya sudah berbincang dengan jurulatih dan sasaran saya adalah untuk mencatatkan PB baharu dalam acara pecut.
“Jika berjaya ke pusingan seterusnya, saya mahu cuba menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik,” ujarnya.
Mengulas saingan di ACC 2025, Ridwan mengakui cabaran daripada pasukan seperti Jepun dan China sangat sengit, namun beliau dan pasukan tetap optimis untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok tiga terbaik bagi acara pecut berpasukan.
“Kami akan berusaha memberikan yang terbaik untuk Malaysia. Berlumba di gelanggang sendiri sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada kami dan saya harap dapat membawa pulang sekurang-kurangnya pingat atau kedudukan terbaik untuk pasukan,” katanya.
Ridwan dan skuad trek negara akan memulakan cabaran di ACC 2025 bermula Jumaat ini dengan harapan untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas Asia. – UTUSAN










