LEGANES: Jaringan pada minit 93 daripada penyerang muda, Gonzalo Garcia membantu Real Madrid mencatat kemenangan 3-2 ke atas Deportivo Leganes sekali gus membawa pasukannya mara ke perlawanan separuh akhir Piala Raja Sepanyol pagi ini.
Leganes bangkit melawan selepas jaringan Juan Cruz menafikan gol Luka Modric dan Endrick untuk perlawanan terikat 2-2.
Ketika perlawanan memasuki masa tambahan, Gonzalo, 20, mendapat kesempatan menanduk bola hantaran Brahim Diaz untuk kemenangan 3-2.
Kemenangan itu dianggap cukup bermakna buat Real yang akan menentang Atletico Madrid selepas ini dan berdepan Manchester City dalam saingan play-off Liga Juara-Juara.
Real semalam membariskan pemain tanpa Kylian Mbappe dan Jude Bellingham yang mengalami kecederaan kecil, sebaliknya menurunkan pemain remaja, Jacobo Ramon dan Raul Asencio di barisan pertahanan ekoran masalah kecederaan pemain.
“Gonzalo sentiasa beraksi seperti yang diharapkan. Kita sepatutnya memuji apa yang dilakukan oleh pemain-pemain muda ini. Mereka telah bersedia sepenuhnya. Walaupun mereka kurang pengalaman tetapi telah memberikan yang terbaik,” kata pengedali Real, Carlo Ancelotti. – AFP/UTUSAN










