Pencapaian terburuk di Qingdao

Pencapaian terburuk di Qingdao

Goh Soon Huat-Shevon Lai menewaskan wakil Taiwan, Lu Ming Che-Hung En Tzu 21-14, 21-17 pada aksi pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Denmark di Jyske Bank Arena, Odense hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia melakar pencapaian terburuk pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2025 di Qingdao, China, selepas tersingkir seawal saingan peringkat kumpulan tanpa mengutip sebarang mata.

Semalam, Malaysia yang mengirimkan pasukan tanpa bintang utama tewas 1-3 kepada Indonesia dan kekalahan itu merupakan yang kedua menimpa skuad kebangsaan selepas tunduk 2-3 di tangan Hong Kong dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Pusat Sukan Qingdao Conson, kelmarin.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan yang mula diperkenalkan pada 2017 itu ialah setakat suku akhir menerusi tiga penyertaan lalu bermula edisi pertama di Ho Chi Minh City, Vietnam (2017); edisi kedua di Hong Kong (2019); dan edisi ketiga di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (2023).

Namun, penyertaan skuad negara buat kali keempat di Qingdao adalah pencapaian terburuk dilakar barisan pemain Malaysia apabila tersungkur seawal peringkat kumpulan.

Percaturan yang serba tidak menjadi sewaktu berdepan Hong Kong telah memerangkap Malaysia dan aksi hambar dua beregu campuran negara yang gagal menyumbang sebarang mata menjadi punca kepada kekalahan pasukan kebangsaan.

Beregu No. 4 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang menghuni ranking ke-15 dunia tewas dalam perlawanan masing-masing.

Kedua-dua beregu itu tumpas kepada pasangan pecah ganding di mana Pang Ron-Su Yin tunduk kepada gandingan Hong Kong, Tang Chun Man-Ng Tsz Yau 21-17, 17-21, 11-21, manakala, Soon Huat-Shevon kalah di tangan Dejan Ferdinansyah-Siti Fadia Silva Ramadanti dari Indonesia 21-17, 13-21, 18-21.

Selain beregu campuran, mata penting Malaysia seharusnya hadir daripada perseorangan dan beregu lelaki kerana pasukan negara tidak memiliki wakil yang kuat dalam saingan wanita.

Namun, sewaktu beraksi menentang Hong Kong, Malaysia yang mempertaruhkan pemain muda, Justin Hoh gagal menghadirkan elemen kejutan ke atas pemain No. 21 dunia, Lee Cheuk Yiu apabila tewas 19-21, 16-21.

Bagaimanapun, kekalahan Justin telah diselamatkan wakil perseorangan wanita, K. Letshanaa yang mengalahkan Saloni Samirbhai Mehta 21-18, 21-18, tetapi, malangnya, untuk aksi berdepan Indonesia pemain itu terpaksa akur dengan pemain No. 40 dunia, Komang Ayu Cahya Dewi 12-21, 19-21.

Pun begitu, kekalahan Letsahanaa dalam aksi berdepan Indonesia dapat ditebus pula pemain No. 28 dunia, Leong Jun Hao yang berhempas pulas sebelum menang ke atas Yohanes Saut Marcellyno 11-21, 22-20, 21-12.

Wakil paling konsisten sepanjang kejohanan itu ialah beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang menjadi penyumbang mata tetap skuad negara dalam perlawanan berdepan Hong Kong dan juga Indonesia.

Bagi beregu wanita, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing, kehadiran mereka dilihat sebagai liabiliti kerana gagal menyumbang sebarang mata walaupun diturunkan dalam kedua-dua pertemuan peringkat kumpulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN